BALING – Seorang bekas banduan yang paling lama dipenjara selama 39 tahun bersyukur apabila impiannya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sejak berada di dalam jel akhirnya tercapai.
Zakaria Man, 66, menunaikan ibadah itu bersama isterinya, Saodah Rashid, 41, pada awal bulan ini selepas seorang lelaki menaja kos umrah mereka berdua.
“Saya dan isteri sangat teruja kerana berpeluang menunaikan umrah walaupun saya seorang bekas banduan dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki ini menerusi insan yang begitu bermurah hati untuk menaja kos umrah saya dan isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Bakap, Parit Panjang di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia dan isteri hanya mampu mendoakan agar penyumbang itu, Romli Hassan, 62, dari Alor Setar dimurahkan rezeki, manakala arwah isteri penyumbang, Norazipah Badjee ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Bercerita tentang pengalamannya di Tanah Suci, Zakaria yang lebih dikenali sebagai Pak Ya berkata, dia bagaikan bermimpi apabila dapat melihat Kaabah di depan mata.
Katanya, dia tidak dapat melupakan pengalaman ketika menziarahi makam Rasulullah yang mana perasaannya diselubungi rasa sayu dan sebak.
“Saya berdoa dan meminta ampun kepada Allah dan mahu menjadi insan yang baik serta menurut perintah dan ajaran-Nya.
“Di makam Rasulullah ini juga, saya diminta berdoa untuk keluarga rakan sebilik yang sebelum itu telah menyampaikan hajat bapa dan ahli keluarganya di Perlis untuk mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buat mereka,” katanya.

Lebih manis katanya, semasa berada Masjid Nabawi, dia dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan dirinya dan pengalaman selama berada di penjara kepada jemaah umrah dari Malaysia.
Katanya, dia juga berpeluang menemui seorang rakan dari Perlis yang pernah dipenjarakan 15 tahun lalu di penjara yang sama dan kini dia sedang bekerja sebagai tukang masak di Mekah sejak tiga tahun lalu.
“Saya juga terharu kerana kumpulan jemaah yang mengetahui latar belakang saya langsung tidak menyisihkan kami, malah melayan kami bagaikan keluarga.
“Rakan-rakan isteri yang tinggal sebilik dengannya juga sanggup mengumpul duit dan sedekahkan kepada isteri.
“Ada hikmahnya 39 tahun saya di penjara. Jika tidak kena tangkap ketika itu, saya tidak tahu apa akan jadi seterusnya yang mana mungkin keadaan dan kejahatan yang saya lakukan semakin menjadi-jadi,” tambahnya.
Katanya, sepanjang berada di penjara, dia sentiasa berdoa agar diberikan rezeki untuk menunaikan umrah sebelum berazam untuk menabung selepas dibebaskan.
“Impian untuk menabung dan menunaikan umrah hampir terpaksa dilupakan apabila saya terlibat kemalangan pada Jun tahun lalu ketika baru bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan.
“Akibat kecederaan patah bahu kiri, saya berhenti kerja kerana tidak dapat melakukan kerja-kerja berat dan hanya mampu menanam sayur di sekeliling rumah bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Tambahnya, bagi meneruskan kehidupan hariannya, Zakaria hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500.
“Wang itu digunakan untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak tiri, Mohamad Suhaimi Muhamad, 15,” katanya.
Pak Ya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 1980 kerana terlibat dalam rompakan menggunakan senjata api di sebuah kilang padi di Air Hitam.
Dia kemudian dibebaskan selepas permohonan rayuannya diterima Jemaah Pengampunan Kedah pada Januari 2016 sebelum dibebaskan pada 17 Januari 2016.














