fbpx
Suhaimi (kanan) menerima penghargaan daripada Zainal pada Majlis Apresiasi JBPM Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH

Bomba hargai keberanian redah api selamatkan warga emas OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Keberanian seorang pemandu lori yang meredah api demi menyelamatkan jirannya yang juga warga emas orang kelainan upaya (OKU) dalam kebakaran Februari tahun lalu mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Kelantan hari ini.

Suhaimi Harun, 58, menerima sijil penghargaan disampaikan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin dalam Majlis Apresiasi JBPM Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong di sini.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang, dia sedang membaiki lori di depan rumah sebelum terdengar bunyi letupan dan melihat rumah warga emas itu terbakar.

“Keadaan api semakin marak dan menjulang tinggi, namun saya nekad meredahnya kerana mahu menyelamatkan jiran yang kelihatan tidak berdaya dan tinggal seorang diri ketika itu.

“Saya sudah tidak fikirkan apa-apa termasuk keselamatan diri. Syukur saya berjaya membawanya keluar dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu hari ini.

Terdahulu Zainal memberitahu, sejak Januari sehingga semalam, JBPM Kelantan menerima 1,529 panggilan kecemasan melibatkan 275 panggilan kebakaran, 406 panggilan penyelamatan dan 847 panggilan tugas-tugas khas dengan kerugian berjumlah RM76 juta.

Menurutnya, memandangkan musim kemarau sudah tiba, pihaknya sudah membuat persiapan untuk berdepan kemungkinan kejadian kebakaran hutan di kawasan tanah gambut dan lalang yang kerap berlaku di Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh. – KOSMO! ONLINE

POPULAR