SELEPAS gagal dalam percintaan dengan dua orang pemuda, Sofia (bukan nama sebenar) membawa diri dengan menyertai kumpulan pendaki gunung dan bukit untuk membawa hati yang lara.
Dalam kumpulan itu dia baik dengah seorang wanita yang berperwatakan agak kasar seperti lelaki dan hubungan mereka bertambah akrab selepas itu.
Tanpa disedarinya, segala bantuan pertolongan yang diberikan selama mempunyai makna tersembunyi selepas wanita itu meluahkan perasaan cintanya kepada Sofia.
Tidak dapat menerima perkara itu, Sofia kemudian bertindak menjauhkan diri daripada wanita tersebut.
———————————————————————————————————————————————
DIKURNIAKAN rupa paras menawan ternyata memberi satu kelebihan buat gadis berusia lewat 30-an dikenali sebagai Sofia (bukan nama sebenar).
Meskipun memiliki raut wajah cantik serta berkulit putih, namun malangnya gadis berasal dari Kelantan itu masih gagal menemui teman hidup yang sesuai.
Dia pernah beberapa kali menjalinkan hubungan rapat dengan dua lelaki selepas berhijrah ke ibu kota, tetapi perjalanan cintanya tidak bertahan lama.
Perpisahan tersebut menyebabkan gadis yang bekerja dalam sektor awam itu enggan memikirkan soal jodoh, sebaliknya menyerahkannya kepada takdir Tuhan.
“Sebelum ini, saya pernah bercinta dengan dua orang lelaki selepas bekerja di ibu kota. Tetapi kedua-duanya tidak bertahan lama, mungkin mereka bukan jodoh saya.
“Disebab itu, saya sudah tidak memikirkan sangat soal kahwin meskipun ramai kawan-kawan seusia sudah ada ramai anak.
“Saya kini hanya menyerahkannya kepada takdir,” terangnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Rentetan itu, Sofia banyak melakukan aktiviti lasak terutamanya pada hujung minggu bagi merehatkan minda sambil menambah kenalan baharu.
Salah satu aktiviti lasak dilakukan oleh Sofia adalah mendaki gunung. Justeru, dia telah menyertai sebuah kumpulan yang aktif menganjurkan pendakian di dalam negara.
Rata-rata ahli dalam kumpulan tersebut terdiri daripada kaum Hawa.
Situasi itu membuatkan Sofia berasa lebih selesa apabila melakukan aktiviti berkenaan.
“Disebabkan tiada teman lelaki, jadi saya boleh habiskan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti kegemaran. Salah satunya adalah mendaki gunung atau bukit,” ceritanya.
Sewaktu menyertai beberapa aktiviti pendakian bersama kumpulan itu, Sofia berkenalan dengan ramai rakan baharu termasuk Asiah (bukan nama sebenar).

SOFIA tidak menyangka bantuan yang diberikan oleh Asiah selama ini rupanya ada agenda tersembunyi untuk menjadikannya kekasih dalam hubungan sejenis. – GAMBAR HIASAN
Asiah merupakan seorang anggota keselamatan berusia awal 30-an. Dia memiliki perwatakan agak keras dengan rambut pendek seakan-akan lelaki.
Menurut Sofia, sepanjang menyertai pendakian bersama kumpulan berkenaan, Asiah merupakan individu yang paling banyak membantunya, sekali gus membuat mereka menjadi rapat.
“Sebenarnya, ramai yang baik dengan saya dalam kumpulan ini. Tetapi Asiah yang paling baik dan banyak tolong saya. Dia selalu bantu saya dirikan khemah atau memasak.
“Lagi pun, Asiah memiliki stamina kuat seperti lelaki, mungkin disebabkan perwatakan atau didorong oleh tugas hariannya sebagai anggota keselamatan,” ujarnya lagi.
Selepas beberapa kali menyertai pendakian bersama, hubungan mereka semakin rapat.
Mereka selalu berhubung untuk bertanya khabar menerusi aplikasi WhatsApp.
Ada ketikanya, Asiah mengajak Sofia keluar makan malam atau menonton wayang bersama memandangkan rumah mereka tidak berapa jauh, hanya 10 kilometer jaraknya.
“Mulanya kami selalu berbual menerusi telefon, lama-lama Asiah mula ajak saya keluar.
“Kami selalu habiskan masa bersama termasuk menonton wayang pada hujung minggu,” terangnya.
Hubungan antara mereka semakin erat selepas lima bulan perkenalan.
Asiah juga sanggup menjadi menghantar dan menjemput Sofia ke tempat kerja setiap hari.
Pada satu hari, Asiah meluahkan perasaan cinta songsangnya serta menyatakan hasrat untuk tinggal sebumbung dengan Sofia.
Pengakuan itu benar-benar membuatkan Sofia terkejut.
“Saya tidak sangka dia rapat dengan saya selama ini sebab ada agenda lain. Apabila Asiah meluahkan rasa cintanya, saya berasa sangat geram dan marah.
“Saya tidak sangka orang yang nampak baik merupakan seorang pengamal hubungan sejenis. Saya memang kesunyian, tetapi tidak sampai tahap bercinta dengan kaum sejenis,” katanya.
Selepas mengetahui niat sebenar Asiah, Sofia mula menjauhkan diri wanita itu. Bagi Sofia, dia tidak memerlukan seorang kawan seperti itu.
Usahanya menjauhkan diri mengundang kemarahan Asiah yang mula bertindak di luar kawalan termasuk datang ke pejabat Sofia dengan membuat kecoh.
“Disebabkan itu, semua kawan saya tahu mengenai perkara berkenaan. Saya tiada pilihan lain kecuali meminta dipindahkan tempat kerja.
“Saya juga menyekat nombor telefon Asiah. Jadi, saya dapatkan menjauhkan diri daripadanya dan hidup lebih tenang di tempat baharu,” terangnya.














