fbpx
HELMI berjaya meraih kemenangan pada Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand sebentar tadi.

Helmi Azman julang kemenangan sulung SS600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN pelumba berbakat negara,Helmi Azman untuk meraih kemenangan pertama pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) akhirnya terlaksana selepas muncul juara pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Chang ,Buriram, Thailand.

Pada Perlumbaan 2 tersebut, Helmi yang memulakan perlumbaan di petak empat memperagakan tunggangan terbaik dalam kelas SuperSports 600 (SS600) selepas berjaya berada di kelompok hadapan meskipun pada ketika itu pelumba Astra Honda Racing Team, Andi Farid Izdihar mendahului saingan.

Berbaki tujuh pusingan terakhir, Andi melakukan kesilapan apabila terjatuh lalu membuka ruang buat Helmi untuk merampas kedudukan itu sebelum menamatkan perlumbaan dengan kemenangan dramatik.

Lebih manis, ini adalah kemenangan pertama buat Helmi selepas beralih ke kelas SS600.

“Saya ingin berterima kasih kepada pasukan saya, Honda Racing kerana telah menyediakan jentera terbaik pada minggu ini.

“Pada perlumbaan tersebut saya cuba mengekori Andi kerana dia benar-benar laju dan secara tiba-tiba dia terjatuh.

“Saya mengekalkan catatan masa meskipun pada ketika itu keadaan litar terlalu panas dan saya hanya kekalkan momentum untuk menjuarai perlumbaan hari ini,” katanya.

Sementara itu,tempat kedua menjadi milik pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat manakala pelumba Malaysia ,Ibrahim Norrodin di tempat ketiga.

Bekas pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi berjaya menamatkan saingan di tempat kelima. – KOSMO! ONLINE

POPULAR