fbpx

Rita Nadira tak takut dilabel jahat, jalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rita tidak kisah sekiranya digelar wanita jalang dan jahat di mata netizen.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan model cantik Rita Nadira mengakui langsung tidak takut jika dilabel netizen sebagai seorang wanita jahat dan jalang.

Rita memberitahu, setakat ini dia sangat selesa dan langsung tidak berkecil hati seandainya lebih dikenali dengan gelaran sedemikian asalkan dapat menjiwai watak lakonan yang diberi dengan baik.

“Sejujurnya saya sendiri sebenarnya sangat seronok membawa watak antagonis daripada watak baik dan lemah lembut.

“Bukan kata tiada tawaran dapat bawa baik-baik macam wanita kampung ke sopan ke, tapi buat sementara ini saya lebih memilih dan selesa membawa watak sedemikian. Itu memang jiwa saya.

“Mungkin daripada situ jugalah, watak jahat yang saya bawakan itu menjadi sekali gus membuatkan mereka mengenali dan membenci insan bernama Rita Nadira walaupun tidak mengenali saya secara peribadi,” katanya.

Rita ditemui ketika majlis pelancaran kempen Ramadan 2022 Astro dan sesi memperkenalkan duta kempen tersebut di ibu kota semalam.

Ditanya mengenai popularitinya yang kian meningkat naik walaupun baru setahun jagung berlakon, Rita yang popular menerusi drama Tak Sempurna Mencintaimu itu berkata, dia sendiri langsung tidak menyangka perkara tersebut dan menerima sebagai rezeki.

“Saya sendiri pun tak sangka orang lebih kenal dan terima lakonan saya dengan pelbagai watak antagonis yang saya bawakan selama ini.

“Walaupun dikenali dan sering menjadi bahan kecaman serta maki hamun gara-gara watak yang dibawakan, saya okey sahaja walaupun pada awalnya ada sedikit rasa takut serta janggal.

“Tapi pada saya ini semua rezeki. Apa yang penting, walaupun ‘dibenci’, saya lagi semangat untuk membawakan apa sahaja watak yang dipertanggungjawabkan dengan sehabis baik hingga meninggalkan impak kepada penonton seperti sekarang,” katanya.

Rita, 28, sebelum ini bergiat aktif dalam bidang peragaan sebagai model memulakan debut sebagai pelakon pada 2020 menerusi drama perdana, Jujurlah Nikahi Aku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI