fbpx

Pengembaraan masa yang terumbang-ambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM The Adam Project tidak banyak masalah dari segi perkembangan karakter, namun naratifnya agak bercelaru.

MEMPERTARUHKAN aktor berkarisma Hollywood, Ryan Reynolds sebagai pelakon utama, The Adam Project arahan sutradara, Shawn Levy mula diluncurkan dalam laman penstriman, Netflix 11 Mac lalu.

Sebenarnya agak seronok dapat menonton Renolds dalam karya bercorakkan pengembaraan masa kali ini. Pemilik nama lengkap, Ryan Rodney Reynolds itu memainkan peranannya dengan sempurna, termasuk dari segi terjemahan karakter, aksi dan emosi.

Secara peribadi, tiada cela ketara daripada Ryan, namun pada masa sama, tidak banyak boleh dicanangkan tentang peranannya sebagai hero iaitu Adam Reed ‘versi’ 2050 dalam The Adam Project.

Apa yang menjadi masalah utama dalam filem berkenaan adalah dari segi penceritaan atau naratif yang kurang memberi impak dalam ingatan penonton.

Bukan hanya kurang memberi impak, naratifnya juga agak kurang cermat.

ADAM REED dalam dua versi iaitu pada tahun 2050 lakonan Ryan Reynold dan tahun 2022 yang dijayakan pelakon cilik, Walker Scobell.

Tanggungjawab besar

Karya bernuansakan pengembaraan masa atau time travel memerlukan perihal teknikal dan pemahaman yang tinggi.

Barangkali kebanyakan kita sudah terbiasa dengan cerita konsep berkenaan masa kini versi Marvel dan disebabkan itu, untuk filem lain memasuki ‘carta’ dalam minda, itu menjadi satu cabaran berselirat kepada pembikin.

Fizik kuantum merupakan satu cabang sains yang mempunyai banyak ‘gendala’ untuk diterjemahkan dalam bentuk filem. Barangkali sudah terlazim dengan karya Marvel, Doctor Strange misalnya, The Adam Project terduduk di kerusi sedikit belakang.

Entah mengapa, durasi 106 minit The Adam Project terasa terlalu ‘tergesa-gesa’ untuk dihabiskan, sekali gus membuatkan naratif sedikit terumbang-ambing.

Selain Ryan, The Adam Project turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain seperti Mark Ruffalo, Jennifer Garner dan Zoe Saldana.

Malangnya, kelebihan tersebut tidak digunakan sebaik mungkin oleh pengarah.

Rasanya boleh kira dengan jari ‘screen time’ ketiga-tiga pelakon tersebut, terutama Garner yang berperanan sebagai ibu Adam. Itu satu pembaziran yang tidak wajar.

AKSI Zoe Saldana dan Ryan Reynolds dalam The Adam Project dirasakan kurang berbekas.

Keserasian watak, kualiti CGI

Keserasian antara Adam dan bapanya, Loius Reed (Rufallo) juga tidak begitu berbekas dalam jiwa.

Mark Ruffalo sebagai Hulk juga masih subur biarpun watak dan filem melibatkan karakter adiwira tersebut sudah lama dipertontonkan.

Energi canggung juga terhasil melibatkan keserasian antara karakter Adam Reed dengan isterinya, Laura Shane (Zoe).

Pelakon cilik, Walker Scobell sebagai Adam Reed versi kanak-kanak tidak mengecewakan, namun barangkali dia perlu menjadi lebih ‘nerda’ untuk memainkan peranan karakter figura yang berkerjaya juruterbang hebat pada 2050.

Bukan tidak bersifat terbuka, namun buat penulis, Ryan ialah Deadpool, Rufallo ialah Hulk dan Saldana ialah Gamora.

Bagaimanapun, kualiti tahap terbaik dalam filem ini adalah teknik janaan komputer (CGI) dan sinematografinya.

Babak pertarungan seperti serangan Sorian, terutama ketika Adam versi 2050, versi 2022 dan bapanya (Loius) bergabung dalam usaha memusnahkan mesin pengembaraan masa pada tahun 2018, itu antara yang berbekas.

Boleh tahan, namun adrenalin sinematik penulis tidaklah begitu berkocak berbanding banyak lagi naskhah time travel yang berganda kualitinya, seperti Back to the Future, Interstellar dan Harry Potter and the Prisoner of Azkaban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI