fbpx
BERDEKAD mengukir nama dalam industri, nama Rusdi Ramli tetap dalam liga tersendiri dan kini dia kembali mewarnai gelanggang seni tanah air.

Di set, tiada masa nak mengajar – Rusdi Ramli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Rusdi Ramli tidak perlu diperkenalkan lagi bagi peminat industri hiburan tanah air apabila kerap dipilih memantapkan deretan naskhah variasi.

Sebut sahaja namanya, setiap drama mahupun filem yang dibintangi pasti melekat dalam kepala penonton.

Hasil lakonannya tidak dapat disangkal apabila pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.

Disebabkan pengalaman jitu, kebanyakan pendatang baharu mengakui seram sejuk untuk bergandingan dengan aktor berusia 54 tahun itu.

“Kadang-kadang ada pelakon baharu rasa gemuruh untuk bergandingan dengan saya. Benda itu sedikit sebanyak mengganggu saya.

“Apa saya boleh buat adalah cuba tenangkan dia, bagi dia selesa dengan berborak. Nak berkawan pun saya jenis tidak berkawan dengan orang tempat kerja.

“Ada sampai pelakon baharu berpeluh-peluh apabila gemuruh. Tidak tahulah kenapa, yang selalu terjadi kepada pelakon yang terlalu baharu,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai bakat baharu yang datang ingin menuntut ilmu, Rusdi akui ada beberapa nama yang berbuat demikian.

Namun, pelakon filem popular Pontianak Harum Sundal Malam II itu merendah diri mengakui tidak mahir mengajar orang selain sekadar berkongsi pengalaman yang ada.

“Masa berborak dalam set, ada juga yang mahu menuntut ilmu. Itu pun kalau mereka tanya sebab saya sendiri pun tidak pandai mengajar.

“Konsep saya senang sahaja, lakonan ada ‘metod’ masing-masing. Kalau mengajar belum tentu seseorang itu dapat apa yang saya ajar.

“Sama juga macam saya, kalau orang ajar pun belum tentu sesuai dengan saya. Kalau seseorang tanya, saya bukan mengajar tetapi lebih kepada perkongsian,” ujar anak pelakon veteran Norlia Ghani itu.

RUSDI RAMLI pernah bengkak hati dengan sikap seorang pelakon baharu yang tidak menghormati kerja sendiri dan orang lain lain sewaktu di lokasi penggambaran. – AMIR KHALID

Berdepan pelakon ‘kekwat’

Memuji sikap generasi anak seni baharu yang sanggup menuntut ilmu, tersemat satu kisah pahit dalam hati Rusdi mengenai perangai segelintir pendatang baharu yang boleh dikatakan ‘besar kepala’

Sewaktu kejadian, anak jati Selangor itu mengarahkan sebuah naskhah dan terpaksa berhadapan seorang pendatang baharu yang gemar bermain telefon semasa berada dalam set penggambaran.

“Ramai sahaja pelakon muda tidak serius. Saya pernah arahkan satu drama, ada pelakon sudah berada di set dan saya jerit ‘roll camera’ tetapi dia masih pegang telefon.

“Saya cakap ‘action’ barulah telefon masuk poket. Jadi, saya terus ‘cut’. Saya cakap dengan dia, kalau main telefon bagaimana saya harus lakukan suntingan.

“Namun, dia tidak takut. Dia memang minta maaf tetapi saya rasa dia tak ikhlas sebab selepas itu dia masih buat lagi,” kongsinya.

Lebih menyebalkan hati apabila isu sebegitu tiada jalan penyelesaian, selain pihak stesen televisyen boleh bertindak menukar pengarah serta-merta.

“Saya tiada pilihan. Artis dipilih pihak stesen televisyen. Mereka tiada dalam set untuk melihat masalah yang kami hadapi.

“Perkara ini boleh sampai tahap pihak stesen televisyen masih mahukan budak tersebut dan tukar pengarah.

“Masalah saya selama menjadi pengarah apabila selalu diberikan pelakon baharu dan berangapan saya boleh mengajar.

“Sedangkan dalam set kami tiada masa untuk mengajar,” ujarnya.

AKTIF dengan kerja-kerja belakang tabir, Rusdi mengakui masih laris sebagai pelakon.

Tak murung

Sebelum ini pernah timbul dakwaan Rusdi kurang menerima tawaran pekerjaan sehingga kemurungan sepanjang berada di rumah.

Namun, dakwaan tersebut disangkal pengarah itu walaupun sememangnya tawaran lakonan tidak sehebat dahulu.

“Mana ada tiada tawaran, saya masih mampu membayar bil. Cuma saya dilihat orang di luar masa bekerja atau semasa hantar anak ke sekolah.

“Tapi betul, sekarang tawaran kerja bukanlah macam dahulu sangat. Memang kurang tetapi nak kata tiada sampai stres, kemurungan dan duduk rumah, itu tak betul sangat.

“Saya baru sahaja habiskan penggambaran 30 episod drama. Jadi, saya masih lagi ada tawaran,” ujarnya.

Terbaharu, Rusdi terlibat sama dalam naskhah Astro Original berjudul Framed bergandingan bersama pelakon-pelakon popular ketika ini, Mimi Lana dan Meerqeen.

Dalam naskhah berkenaan, Rusdi menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan seorang wartawan yang menemui pusaka keluarga, kamera poloroid yang mencetak kejadian masa hadapan.

RUSDI RAMLI bersama pengarah dan barisan pelakon naskhah Framed yang yang bakal memulakan tayangan tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN