fbpx

Solat rapat saf Pulau Pinang 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Umat Islam di Pulau Pinang menerima ‘hadiah’ istimewa menjelang Ramadan apabila pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri ini dibenarkan bermula 1 April ini.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, selain kebenaran untuk merapatkan saf, aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti juga dibenarkan dengan pemantauan pihak pengurusan masjid dan surau.

“Solat tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah turut menunaikan solat tarawih turut diberikan.

“Bagi majlis berbuka puasa dan moreh pula ia mesti dijalankan mengikut kesesuaian SOP, malah bagi kapasiti anggota jemaah pula adalah berdasarkan keluasan ruang dalam masjid atau surau,” katanya selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembah­yang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, ketetapan menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan hari ini.

“Bagaimanapun, jemaah diingatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan perlu membawa sejadah sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI