fbpx

Bahasa Melayu akan terus diperkasa di peringkat antarabangsa – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau akan terus memperkasakan bahasa Melayu dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa mengikut kesesuaian.

Sebagai langkah awal kata Ismail Sabri, beliau telah menggunakan bahasa itu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei , Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Terbaharu katanya, semasa lawatan ke Vietnam dua hari lepas, beliau juga turut menggunakan bahasa Melayu.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia,” katanya pada jawapan lisan semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Senator Datuk Isa Ab. Hamid yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pada masa ini, hanya empat daripada 10 buah negara ASEAN yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa.

Manakala katanya, sebanyak enam buah negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing.

“Justeru, saya berkeyakinan bahawa suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI