fbpx

Ara melencong daripada identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARA JOHARI

JIKA disebut satu nama penyanyi wanita tanah air yang mempunyai kelantangan vokal, salah seorang semestinya Ara Johari.

Memiliki vokal yang hebat dan karakter tersendiri. Itulah kekuatan yang dimiliki Ara.

Mula dikenali selepas graduasi bersama Akademi Fantasia musim ke-13, Ara seterusnya mencetuskan fenomena sendiri menerusi lagu Warkah Untukku sekitar 2016.

Terkenal dengan lagu balada, kini dia sekali lagi memukau ramai menerusi buah tangan terbaharu berjudul Sumpahan Salju karya ciptaan Ziin, manakala lirik pula oleh Jerry.

“Empat bulan lalu, saya melancarkan lagu Keliru dan tempoh jaraknya agak rapat, namun terima kasih buat semua yang telah menyokong nyanyian saya bersama Lil’ J dan sambutan cukup memberangsangkan.

MAHU bergelar selebriti versatil, Ara menegaskan tidak akan pernah berhenti daripada mencuba pelbagai cabang seni, sekali gus meluaskan jenamanya ke peringkat lebih tinggi.

“Kini, saya bersedia kembali dengan langkah solo menerusi lagu Sumpahan Salju,” kata pemilik nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari memulakan bicara.

Teruja berkongsi mengenai Sumpahan Salju, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui jatuh cinta dengan melodi lagu tersebut yang mengetengahkan muzik tradisional versi moden.

Ujarnya, menyanyikan jalur muzik sebegitu juga merupakan satu cabaran kerana memerlukan lenggok tersendiri ditambah pula dengan bahasa laras tinggi yang sangat jarang dituturkannya.

“Ketika saya berada di studio bagi mendengar material baharu daripada abang Zimi (Ziin), hati memang terus jatuh cinta dengan melodi lagu ini yang mengetengahkan elemen muzik tradisional Jawa tetapi telah dimodenkan.

“Tidak menunggu lama, kami terus memulakan sesi rakaman yang hanya mengambil tempoh selama kurang tiga jam, manakala selebihnya Zimi yang bertanggungjawab melakukan proses adunan bagi mengindahkan lagi bunyi lagu tersebut,” jelasnya.

ARA JOHARI menyifatkan penampilannya yang persis puteri Jawa dalam Sumpahan Salju menghadirkan aura berbeza ke atas kanvas kerjaya muziknya. – Foto Ihsan Rocketfuel

Kisah seorang puteri

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Paku itu menjelaskan Sumpahan Salju mengetengahkan kisah dongeng seorang puteri salju atau lebih dikenali sebagai Snow White, namun ‘ditimurkan’ dengan muzik tradisional Jawa.

“Kisah lagu ini klise iaitu tentang sumpahan kehidupan Snow White tetapi diberi nafas moden yang diperkemaskan lagi dengan adunan nuansa pop rancak dalam elemen ‘trap’ yang menambah rasa suspen buat pendengar.

“Saya sebenarnya penggemar melodi-melodi unik dan misteri. Lagu ini ternyata berbeza daripada genre yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Cuma pada kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu serta berbeza dan tidak pernah terjangka oleh sesiapa,” ulasnya dalam nada teruja.

SELAIN sibuk dengan karier sebagai penyanyi, si kecil molek itu kini aktif mengembangkan sayap perniagaan makanan di Ara Kitchen yang terletak di Klang, Selangor.

Fesyen, bisnes

Selain selera muzik yang berbeza, penampilan Ara baru-baru ini turut menjadi perhatian kerana mengalami transformasi, perubahan tersebut dapat dilihat melalui video muzik (MV) yang turut dilancarkan bersama-sama single Sumpahan Salju.

Jika selama ini, Ara ketara dilihat ‘maskulin’ berbanding feminin, dia kini sedikit berbeza.

“Saya sentiasa cuba memperbaiki penampilan diri dari segi berfesyen agar sejajar dengan perkembangan muzik yang saya bawakan.

“Bukanlah berubah 100 peratus, saya masih Ara, cuma gaya ada kelainan sedikit.

“Dalam MV ini, saya jayakan beberapa watak yang memerlukan saya memakai busana persis seorang puteri Jawa dan Snow White. Pengalaman yang berbeza dan lari daripada identiti asal saya,” tuturnya.

Bergelar penyanyi dan dalam masa sama menguruskan perniagaan bukan satu hal yang mudah, namun dia tetap bersyukur kerana kedua-dua kerjaya tersebut berjalan dengan lancar.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan makanan miliknya, Ara Kitchen di Klang, Ara masih lagi memperuntukkan waktu untuk merakamkan lagu baharu kerana baginya bidang nyanyian adalah keutamaan.

“Alhamdulillah perniagaan saya semakin berkembang dengan tertubuhnya cawangan di Klang, tidak menang tangan dibuatnya!

“Syukur kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat baik. Sokongan anda terhadap saya dalam bidang nyanyian mahupun makanan sangat-sangat dihargai,” tuturnya.

Akhiri pelakon utama telemovie komedi, Cinta Hati Ayam itu, dia akan terus menggenggam erat impiannya untuk bergelar dan dikenali sebagai selebriti serba boleh.

“Banyak lagi impian yang saya ingin capai sebagai anak seni. Usia saya dalam industri masih belum cukup ranum.

“Ada pelbagai cabang seni harus saya cuba. Jika tidak menjadi, cuba pula yang lain. Tiada istilah penat dalam kamus hidup saya sebagai selebriti,” kongsinya.

JIKA selama ini menebal dengan imej maskulin, Ara kini tampil lebih feminin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI