fbpx
SEORANG peniaga terpaksa berbelanja lebih untuk membeli tepung bagi menjual goreng pisang di bahu jalan di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini. – IQBAL HAMDAN

Peniaga pening tepung naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULAU PINANG – Di sebalik rasa teruja untuk berniaga pada bulan Ramadan ini, rata-rata peniaga yang menjual kuih-muih dan bahan makanan mula pe­ning kepala apabila bahan utama iaitu tepung dijangka mengalami kenaikan sehingga RM3.

Difahamkan, khabar angin mengenai kenaikan harga bahan utama bagi juadah kuih-muih itu telah dimaklumkan oleh pengusaha kedai runcit serta pemborong di negeri ini sejak minggu lalu.

Menurut peniaga, antara tepung yang mengalami kenaik­an harga adalah tepung campuran yang biasa dibeli dalam kuantiti yang banyak bagi tujuan membuat kuih-muih.

Seorang peniaga, Qisnida Azhar, 53, berkata, kenaikan harga tepung campuran sehingga RM3 telah berlaku secara berpe­ringkat sejak awal tahun ini.

Menurutnya, isu kenaikan harga barangan keperluan ini dilihat semakin ketara sejak pandemik Covid-19 Mac dua tahun lalu sehinggalah hari ini.

“Terkini harga tepung yang digunakan untuk menggoreng pisang naik sehingga RM24.50 bagi setiap enam kilogram berban­ding dua bulan lalu iaitu RM21.50. Bayangkan, tiga tahun lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya RM18.50.

“Memang saya akan beli dalam kuantiti yang banyak sebab jadi lebih murah berbanding membeli setiap satu kilogram.

“Semalam (kelmarin), kami dimaklumkan harga tepung dijangka naik lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. Alasan kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan kuih atau biskut raya,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Qisnida yang mula membuka perniagaan di tepi jalan lebih tujuh tahun itu memberitahu, dia kini buntu memikirkan penetapan harga baharu pisang goreng selaras dengan kenaikan harga tepung yang dibelinya.

“Saya kini masih mengekalkan harga lama iaitu pada harga RM1 bagi lima keping pisang goreng berbanding peniaga lain, ramai yang mula naikkan harga menjadi RM3 untuk 10 keping dan RM1 hanya untuk empat keping pisang goreng.

Difahamkan, kerajaan me­netapkan harga bagi tepung gandum bersubisidi kekal dijual pada harga RM1.35 sekilogram, manakala tepung tanpa subsidi dijual mengikut perundangan pencatutan.

Peniaga kuih-muih dan pisang goreng mula berkira-kira untuk menaikkan harga juadah susulan kenaikan harga tepung di pasaran.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, harga tepung gandum terutama jenis berprotein tinggi di negeri ini dikesan telah naik sekurang-kurang 30 sen sekilogram sejak awal bulan lalu.

Seorang peniaga runcit, Laila Abdul Rahman, 66, berkata, dia tiada pilihan selepas pihak pemborong turut menaikan harga bahan mentah itu.

“Pada mulanya, bekalan tepung gandum sukar didapati bukan sahaja di pusat pemborong, malah di pasar raya besar mulai bulan Disember lalu.

“Bekalan kemudiannya kembali pulih secara beransur-ansur pada awal bulan Februari lalu tetapi harganya pula naik,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Jalan Hiliran di sini semalam.

Sementara itu, seorang peniaga kek pisang, Noor Aznida Alias, 42, berkata, dia amat terkesan dengan kenaikan tepung gandum ketika ini.

“Kami tiada pilihan kerana tepung berprotein tinggi diperlukan bagi menghasilkan kuih dan kek yang lebih bermutu.

“Kenaikan ini amat membebankan kerana kos bahan mentah lain untuk menghasilkan kek pisang juga makin mahal,” kata­nya lagi.

Di Klang, Selangor, para peniaga tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menaikan harga kuih-muih ekoran terpaksa menampung kos susulan berlaku kenaikan harga tepung daripada pembekal.

Pemilik kedai, K.Sumathi, 40, memberitahu, kenaikan harga tepung mula dikesan berlaku sejak dua bulan lalu.

Katanya, harga tepung satu kotak cap sauh berisi 10 unit sebelum ini diperoleh pada kadar RM22.50, iaitu kenaikan 10 sen bagi satu unit tepung.

“Sekarang harga tepung sekotak pun naik RM1 menjadi RM23.50 dan itu amat membebankan.

“Jadi, ramai peniaga terpaksa menaikkan harga runcit. Sepatutnya, kawal dari segi pembekal dan bukan kami peniaga setiap kali berlaku perubahan harga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN