fbpx

Mariupol ibarat ‘neraka dunia’ Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- Beratus-ratus orang dikhuatiri terperangkap di tempat perlindungan bom bawah tanah teater Mariupol yang musnah akibat serangan udara Rusia, Rabu lalu. - Anadolu Agency

KIEV – Senario  Mariupol di Ukraine diibaratkan seperti ‘neraka dunia’ selepas bandar itu menjadi sasaran bedilan berterusan askar Rusia sejak tiga minggu lalu, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.

Selain bedilan bertubi-tubi, kehadiran 10,000 anggota pasukan khas Chechnya memburukkan lagi situasi di Mariupol yang kini terputus hubungan dengan  dunia luar.

Menerusi video kementerian pertahanan Rusia, beberapa askar  Chechnya dilihat mendukung kanak-kanak dalam paparan yang didakwa propaganda Moscow untuk menunjukkan kehadiran pasukan komando  itu adalah untuk membebaskan orang awam yang terperangkap.

Setakat ini, beratus-ratus wanita dan kanak-kanak dilaporkan masih terperangkap dalam bilik perlindungan bawah tanah sebuah teater di Mariupol yang musnah dibom oleh Kremlin.

Tentera Rusia telah sampai ke pusat bandar itu ketika  orang awam terus  bersembunyi di kubu-kubu bawah tanah dan askar  Ukraine bertempur di jalanan.

Datuk Bandar,  Vadym Boichenko berkata,  pertempuran menggunakan kereta kebal dan mesingan berterusan, manakala tidak ada sebidang tanah di Mariupol yang tidak mempunyai tanda-tanda perang.

Ahli politik Ukraine, Serhiy Taruta, berkata, kira-kira 130 orang telah diselamatkan daripads runtuhan teater tersebut.

Bagaimanapun,  ratusan mangsa lain tidak dapat dikesan dan berkemungkinan masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Kerja-kerja menyelamat tidak dapat dilakukan kerana peralatan yang diperlukan telah dibom tentera Rusia.

“Ramai doktor dibunuh. Ini bermakna semua yang terselamat dalam pengeboman itu sama ada akan mati di bawah runtuhan teater atau sudah mati terlebih dahulu,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, mangsa yang terselamat daripada kepungan dan berjaya melarikan diri menyifatkan bandar itu bertukar menjadi ‘neraka’.

Mangsa bedilan dibiarkan berdarah atau mati terbakar di jalanan kerana doktor tidak dapat dihubungi dan hospital juga telah musnah

Kementerian pertahanan Rusia berkata,  tenteranya telah memasuki Mariupol  dan sedang bertempur dengan pasukan  Ukraine untuk menguasai kawasan itu.

Jika Mariupol ditawan, ia akan menjadi bandar terbesar yang berjaya dikuasai Moscow walaupun terpaksa dilakukan dengan kos kemusnahan bandar itu secara total. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI