fbpx

JSPT Kuala Lumpur tahan 25 pesalah trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mingguan dijalankan JSPT KL di sekitar ibu kota berjaya mengeluarkan sebanyak 660 saman keatas pesalah trafik.

KUALA LUMPUR – Seramai 25 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi mingguan dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, malam tadi.

Operasi mingguan itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 80 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan tujuh orang lelaki kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi zig-zag, roket dan superman.

“Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Selain itu, polis turut memberkas 13 lelaki berusia lingkungan 28 hingga 38 tahun di bawah Seksyen 45(A) APJ kerana memandu dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin, seorang lelaki berusia 22 tahun juga ditangkap kerana disyaki menunggang motosikal curi dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Kita juga berjaya menahan empat lelaki berusia 19 hingga 22 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(E) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Sementara itu, kita mengeluarkan sebanyak 660 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita 38 buah motosikal di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos),” ujarnya.

Tambah Sarifudin, hasil kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga berjaya mengeluarkan sebanyak 11 saman ke atas penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang dinyatakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI