fbpx
SEBELUM menyerlah dalam Big Stage musim keempat, Aisha Retno terlebih dahulu muncul dengan single berjudul W.H.U.T.

W.H.U.T bukti geniusnya Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIA merupakan salah seorang ‘frontrunner’ program realiti Big Stage 2022.

Atas alasan tersebut, selayak kerja seni terdahulu penyanyi itu diberikan sedikit perhatian.

W.H.U.T atau judul penuhnya berbunyi ‘Wanna Hold U Tight’ diluncurkan sekitar tiga bulan lalu sebelum Aisha atau nama lengkapnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam mencipta fenomena tersendiri dalam Big Stage musim keempat.

Lagu berbahasa Inggeris yang merupakan hasil ciptaan sendiri sepenuhnya oleh Aisha tersebut membuktikan betapa dirinya bukan sekadar penyanyi berpotensi bahkan seorang komposer berbakat besar.

Secara peribadi, W.H.U.T merupakan sebuah penyataan kepada pendengar tentang bagaimana Aisha mahu dikenali, sementelah bakat seni muziknya jauh berlipat ganda daripada apa yang telah dipersembahkan dalam Big Stage.

Lihat sahaja versatiliti yang ditunjukkannya dalam setiap konsert mingguan program berkenaan.

Bagi sahaja lagu genre apa sekalipun, tetap dilunaskan tugasan diberikan dengan cemerlang minggu demi minggu.

Berbalik tentang W.H.U.T, jelas benar bahawa Aisha seorang penggemar muzik Ariana Grande. Alasannya mudah, aura tersebut terserlah dari segi komposisi muzik dan listrik vokal yang dialunkan dalam lagu berentak R&B pop berkenaan.

Tiada apa yang salah tentang perihal tersebut kerana dalam kehidupan, kita sentiasa mendapat inspirasi daripada sekeliling dan barangkali untuk Aisha, Ariana ialah antara pengaruh besar dalam dunia muziknya.

Mendengar W.H.U.T, memberi energi atau getaran untuk segera ‘berangan’ berkasmaran dengan orang yang kita sayang.

Senang cerita, lagu berkenaan wajar menjadi antara pilihan yang perlu berkumandang saat hari bahagia.

Misalnya, dipasang pada hari perkahwinan dengan kelibat seseorang berjalan berdampingan tangan bersama belahan jiwa masing-masing.

Ruang, peluang

Itulah kuasa muzik. Bukan hanya sekadar mendengar tetapi buat mereka yang betul-betul mendalami atau menyelami, akan berasa seperti berada dalam dunia sendiri saat lagu yang kita gemari berkumandang.

Tentang Aisha yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya itu, penyanyi muda tersebut sememangnya mempunyai masa depan yang cukup cerah dalam industri.

Dia hanya perlu ditempatkan dalam pasukan yang terbaik dan diberi ruang serta peluang untuk berkarya.

Seperkara yang Aisha perlukan selepas tamat Big Stage cuma satu iaitu lagu yang betul-betul mengetengahkan dirinya untuk memacu laju dalam arus perdana.

Pesanan buat industri, inilah penyambung legasi penyanyi yang bijak dan tahu apa kemahuan diri. Jangan ‘dibakulsampahkan’ bakat sebegini atau disempitkan dengan kehendak industri bersifat ‘pseudo’ atau kepura-puraan.

POPULAR