fbpx

RUU anti lompat parti perlukan penelitian lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Kabinet memutuskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung anti lompat parti dan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri sehingga 10 tahun masih memerlukan penelitian lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan telah mempertimbangkan RUU berkenaan pada 11 Mac lalu dan memutuskan bahawa penelitian lanjut perlu dilakukan.

“Penelitian lanjut perlu dilakukan melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Ia bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan mereka di Dewan. Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, pada 15 Mac lalu beliau telah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti beserta borang soal selidik untuk dijawab bersama draf RUU untuk pandangan dan input selanjutnya.

“Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya telah adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti-parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang dijadualkan pada 26 dan 28 Februari lalu telah ditangguhkan atas permintaan parti untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” ujar beliau.

Jelas beliau, sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak telah diperolehi serta sesi libat urus selesai, sekiranya Jemaah Menteri meluluskan, RUU tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Khas Parlimen.

“Ia selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebaik sahaja Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah Peraturan tersebut.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU ini demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik,” tegas beliau.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI