fbpx

Lebih 400 wanita jalani saringan pangkal rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta yang hadir pada Program Saringan Pangkal Rahim di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

PETALING JAYA – Lebih 400 peserta wanita dijangka mengambil bahagian menerusi Program Saringan Pangkal Rahim anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, bersempena Sambutan Hari Kesedaran HPV Sedunia dan Hari Wanita, MBPJ memberikan perkhidmatan itu secara percuma kepada golongan wanita khususnya di Petaling Jaya dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan kanser di peringkat lebih awal.

“MBPJ sentiasa menitikberatkan kesihatan awam penduduk dan berhasrat untuk meningkatkan kualiti kesihatan di semua peringkat masyarakat.

“Dengan itu, pendedahan mengenai penyakit berbahaya ini amat penting kerana kesedaran dan pengetahun yang mencukupi merupakan kunci utama dalam memerangi kanser.

“Justeru, saya berharap ujian saringan kendiri yang dilakukan hari ini lebih efisien dan memudahkan serta dapat dimanfatkan oleh wanita terutama golongan B40 di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada Program Saringan Pangkal Rahim untuk Komuniti Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Azhan berkata, kesedaran sahaja tidak akan memberi kesan sekiranya ia tidak diamalkan.

“Bak kata pepatah,’mencegah lebih baik daripada merawat’ dan ini adalah amat benar untuk penyakit kanser,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peratusan wanita di Malaysia yang menjalani saringan pangkal rahim masih rendah iaitu 12.8 peratus sahaja.

“Ini disebabkan ramai wanita masih malu, tiada masa dan merasakan tiada keperluan lagi untuk membuat ujian tersebut,” jelasnya.

Program Saringan Pangkal Rahim ini adalah kerjasama pihak MBPJ dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Rose yang berlangsung selama satu hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI