fbpx

Harga lembu naik RM300 bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD FAISAL yang mengusahakan ternakan lembu di Kampung Paya Keladan, Temerloh bakal menaikkan harga RM300 untuk jualan seekor ternakan itu menjelang Ramadan.

TEMERLOH – Pengguna terpaksa membayar lebih sekiranya mahu menikmati daging lembu pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila rata-rata penternak menaikkan harga RM300 bagi seekor ternakan itu.

Kenaikan itu menurut mereka tidak dapat dielakkan berikutan kekurangan bekalan haiwan berkenaan dan kos penternakan yang mahal selain permintaan tinggi lembu pada masa ini.

Seorang penternak, Mohamad Faisal Said, 40, berkata, dia terpaksa menaikkan harga lembu purata kira-kira RM300 seekor bagi menampung kenaikan kos yang berterusan.

“Selain harga makanan yang meningkat saya turut menghadapi kesukaran membeli lembu kerana kebanyakan penternak tidak mahu menjual ternakan mereka ekoran kerana kenaikan harga sawit.

“Pada masa ini harga minimum seekor lembu lebih RM3,000 se­ekor bergantung kepada saiz,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menaikkan harga jualan bagi mengelak terus menanggung kerugian disebabkan kenaikan kos.

“Pada masa ini saya mempu­nyai 120 ekor lembu dan masih lagi mencari lembu untuk dibeli bagi menampung permintaan.

“Kebanyakan lembu dijual di seluruh negara khususnya kepada penjual di pasar Kuala Lumpur. Bagi ibadah korban kali ini saya telah menerima kira-kira 15 tempahan daripada pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu seorang lagi penternak lembu, Zainul Zaman Mahalim, 58, berkata, dia dan penternak lain di Bentong turut akan menaikkan harga lembu memandangkan kos yang sema­kin me­ningkat.

Dia yang mempunyai kira-kira 300 ekor lembu berkata, kenaikan terpaksa dilakukan bagi menampung pelbagai kos ternakan haiwan berkenaan termasuk makanan, perubatan.

“Saya belum tetapkan lagi kenaikan tetapi akan melakukan perbincangan dengan penternak-penternak lain yang juga bekal menaikkan harga jualan lembu. Kami juga akan memaklumkan perkara ini kepada pihak veterinar,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI