BEIJING – Satu laporan mendakwa bahawa pemerintah China berjaya mengesan alat pengintip yang dikenali sebagai Trojan Horse, milik Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Alat tersebut dipercayai digunakan untuk mencuri fail oleh Agensi Keselamatan Negara (NSA) AS ke atas perisian China.
Akhbar Global Times memperoleh laporan daripada Pusat Tindak Balas Kecemasan Virus Komputer Nasional yang menyatakan alat itu didapati telah mengawal peralatan internet global dan mencuri sejumlah besar maklumat pengguna.
“Alat itu sebahagian besarnya digunakan untuk mencuri fail, mengakses sistem, mengalihkan komunikasi rangkaian dan melihat maklumat peranti sasaran,” demikian menurut laporan itu.
Pakar keselamatan siber memberitahu bahawa sebaik sahaja Trojan Horse dimasukkan ke dalam komputer mangsa, ia akan menjadi pemburu kod-kod rahsia yang muncul dalam perisian.
Perisian itu didakwa digunakan untuk mengawal sejumlah besar peranti internet di seluruh dunia dan mencuri data privasi pengguna.
Laporan tersebut dibuat selepas satu pendedahan hebat sebelum ini yang menyatakan bahawa NSA telah melancarkan serangan siber terhadap 47 buah negara dan wilayah selama sedekad termasuk China.
“Komuniti antarabangsa sudah menyedari bahawa agensi risikan tentera AS telah menjalankan pemantauan rangkaian dan kecurian siber negara-negara di seluruh dunia sejak sekian lama.
“Senjata siber ini merupakan cara penting bagi pelaksanaan pemantauan rangkaiannya,” kata seorang pakar siber China yang dirahsiakan identitinya.
Pada tahun 2013, terdapat laporan yang menyebut bahawa NSA memperoleh akses terus kepada sistem Google, Facebook, Apple dan gergasi internet AS yang lain. – AGENSI