fbpx

Beregu lelaki muncul juara Terbuka Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI-Nur Izzuddin memenangi gelaran sulung dalam saingan Jelajah Badminton Dunia apabila menjuarai Terbuka Jerman semalam.

BEREGU lelaki kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar sejarah tersendiri apabila memenangi gelaran sulung mereka dalam saingan Jelajah Badminton Dunia selepas muncul juara Terbuka Jerman di Westenergie Sporthalle di Mulheim semalam.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Westenergie Sporthalle, Muelheim, gandingan No.17 dunia itu mengenepikan cabaran beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menerusi aksi tiga set 23-21, 16-21, 21-14.

Meskipun Izzuddin berdepan kecederaan di bahagian lutut pada penghujung set ketiga, namun sokongan padu penyokong-penyokong Malaysia yang hadir di venue perlawanan nyata membangkitkan semangat dua pemain beregu tersebut untuk bertahan dan memenangi perlawanan.

Ketika Izzuddin dilihat bergelut menahan kesakitan untuk menamatkan permainan, Sze Fei tampil menjadi penyelamat buat Malaysia apabila bijak mengawal gelanggang seterusnya memberi tekanan kepada Yu Chen-Xuan Yi.

“Ketika aksi set ketiga sudah hampir ke penghujung, saya de­ngar seperti ada bunyi meletup pada lutut kanan. Bagaimanapun, kami hanya cuba yang terbaik bagi memenangi perlawanan.

“Saya juga sangat bertuah ke­rana memiliki rakan sepasukan seperti Sze Fei kerana dia bekerja keras untuk cover saya sehingga perlawanan tamat dan membo­leh­kan kami menang,” kata Izzuddin sejurus tamat permainan.

Sebagai rekod, kemenangan itu juga merupakan gelaran sulung yang diraih Izzuddin-Sze Fei selepas pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah hanya muncul naib juara Malaysia Masters pada 2017.

Kemenangan itu pastinya menjadi tonik terbaik buat beregu tersebut menjelang kejohanan Seluruh England (All England) di Birmingham apabila dijadualkan bertemu wakil China, He Ji Ting-Tan Qiang pada pusingan pertama esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI