fbpx

Perang Ukraine tingkat risiko Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELARIAN Ukraine berjalan untuk menaiki pengangkutan yang membawa mereka melintasi sempadan menuju ke Poland, kelmarin. – AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan terhadap peperangan di Ukraine yang boleh memburukkan lagi situasi pandemik Covid-19 di rantau itu, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Meskipun kes Covid-19 di rantau itu mencatatkan penurunan pada minggu lepas, namun terdapat risiko signifikan bahawa angka jangkitan dan kematian akan meningkat ekoran kadar vaksinasi yang rendah di Ukraine.

Risiko tersebut turut melibatkan lebih dua juta pelarian yang meninggalkan negara bergolak itu ke negara-negara lain di rantau Eropah yang turut mempunyai kadar vaksinasi rendah.

Kadar vaksinasi di Ukraine buat masa ini adalah sekitar 34 peratus, manakala negara jiran seperti Moldova hanya kira-kira 29 peratus, demikian menurut Our World in Data.

Menurut satu laporan WHO yang diterbitkan kelmarin, sebanyak 791,021 kes baharu Covid-19 dan 8,012 kematian baharu dicatatkan di Ukraine dan negara-negara di sekelilingnya antara 3 hingga 9 Mac lalu.

“Malangnya, peperangan telah memberi peluang kepada virus untuk terus menular. Kami menyedari bahawa negara-negara tersebut berdepan dengan cabaran berbeza. Terdapat banyak pergerakan pelarian berkaitan dengan krisis ini,” kata Ketua Teknikal bagi Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove.

Sementara itu, laporan yang sama turut memberitahu bahawa WHO telah membeli bahan-bahan rawatan terapeutik untuk Covid-19 serta mengesyorkan kempen vaksinasi dijalankan. Ia selain itu turut meningkatkan pengawasan untuk Covid-19 dan penyakit-penyakit berjangkit yang lain.

Hungary buat masa ini memberikan suntikan vaksinasi Covid-19 secara percuma kepada pelarian Ukraine, dan dalam masa sama, WHO menawarkan bantuan makmal termasuk ujian saringan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Romania turut menghantar pasukan perubatan untuk menjalankan ujian saringan serta memberikan suntikan vaksinasi kepada pelarian Ukraine.

Rawatan Covid-19 turut disediakan secara percuma di Slovakia serta vaksinasi percuma untuk pelarian Ukraine turut diberikan di Moldova.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr. Mike Ryan pada Rabu lepas berkata, kenaikan kes Covid-19 di Ukraine atau dalam kalangan pelarian negara itu sememangnya tidak dapat dielak.

Beliau menyalahkan kenaikan tersebut kepada kekurangan ujian saringan, penghentian program vaksinasi kebangsaan, kadar vaksinasi rendah serta keadaan penduduk yang tertekan dengan peperangan.

“Apabila penduduk melarikan diri dari peperangan, mereka kebiasaannya membawa penyakit bersama-sama.

“Rantau Eropah sememangnya mempunyai kes Covid-19 yang tinggi, namun mereka tetap perlu berdepan dengan keadaan itu (menerima pelarian Ukraine),” ujarnya.

Justeru itu, Ryan menggesa seluruh dunia agar mengelak daripada mempunyai pandangan stereotaip terhadap pelarian dan penyakit. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI