fbpx

Hati Yang Dikhianati pecah rekod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APAKAH takdir yang akan berlaku kehidupan Lisa dan Ilyas akan menemukan jawapan menjelang episod akhir Hati Yang Dikhianati 17 Mac nanti.

PENAYANGAN naskhah Hati Yang Dikhianati (HYD) yang memasuki episod ke-138 pada 8 Mac lalu mencatat rekod baharu menerusi saluran Astro Prima sebagai drama rantaian satu jam paling panjang sejak pengenalan slot Tiara.

Catatan tersebut sekali gus memadam rekod tayangan Astro Prima sendiri menerusi drama Memori Cinta Suraya yang bersiaran sebanyak 137 episod bermula Ogos 2015 hingga Februari 2016.

Naskhah HYD adaptasi daripada siri terkenal Venezuela berjudul Mis Tres Hermanas tersebut dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Amar Baharin, Isyariana, Mona Allen, Zamarul Hisham dan Mia Nasir.

Sejak menemui penonton bermula pertengahan tahun lalu, naskhah tersebut telah mengharungi dua kali pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini sejak dibadai pandemik.

Hasilnya, kesemua pelakon dan kru penerbitan terpaksa menjalani penggambaran selama 16 bulan.

Selain itu, kehadiran pelakon Elizad Sharifuddin dan Iqram Dinzly dalam tayangan episod 100 dan ke atas membawa perubahan besar terhadap jalan cerita dan takdir setiap watak.

Menurut Penerbit Eksekutif Global Station, Alia Ramli, di sebalik rekod yang dipecahkan pasukan HYD, mereka sebenarnya terpaksa berdepan dengan cabaran iaitu mengharungi dua kali fasa PKP.

“Penggambaran dijalankan tanpa henti ketika kes Covid-19 sentiasa ada. Ketika PKP diwartakan, kami ‘berpindah’ ke Perlis. Ketika itu suasana rumah dalam drama juga bertukar.

“Kami mengolah skrip drama mengikut apa yang penonton inginkan.

“Jadi situasi tersebut memberi cabaran kepada kami kerana perlu sentiasa mengikuti maklum balas daripada penonton,” ujarnya.

KEMUNCULAN watak Tasya lakonan Elizad Sharifuddin dan Azran (Iqram Dinzly) untuk tayangan episod 100 ke atas mengubah corak jalan cerita dan konflik yang diketengahkan dalam naskhah Hati Yang Dikhianati.

Penghormatan besar

Pelakon utama drama tersebut iaitu Amar Baharin pula menganggap rekod HYD sebagai pencapaian yang amat membanggakan.

“Sebanyak 147 episod, 14 bulan, 75 orang pelakon. Dari Melaka sampai ke Perlis (penggambaran) dalam musim pandemik?

“Saya percaya tak ramai yang sanggup lalui perjalanan panjang macam ini.

“Satu rekod terpanjang dalam sejarah peribadi saya dan Global Station sendiri.

“Semua pelakon beri 100 peratus disiplin dan komitmen dari segi menjaga kesihatan dan penghayatan watak masing-masing.

“Diberi peluang memegang watak utama untuk drama yang panjang juga satu penghormatan besar buat saya,” katanya.

Amar yang memegang watak Zuhri Ilyas dalam drama berkenaan turut menganggap peluang bekerja bersama pasukan HYD sebagai rezeki yang patut disyukuri sepanjang pelaksanaan PKP.

Sementara itu, tidak terkecuali bagi Isyariana yang memegang watak sebagai Lisa. Isyariana melihat pengalaman sepanjang penggambaran sebagai momen indah yang sukar dilupakan.

Menurut Isyariana, dia dan rakan pelakon lain sudah sangat rapat seperti adik-beradik.

“Rasa sedih sangat sebab selama setahun lebih bersama dengan pelakon dan kru yang sudah dianggap macam adik-beradik.

“Pergi kerja setiap hari rasa seronok sangat sebab nak jumpa mereka di set penggambaran.

“Pengalaman berkampung di Perlis selama sebulan juga momen manis yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya.

Untuk rekod, HYD yang mula ditayangkan sejak Jun tahun lalu akan menemukan episod terakhir menjelang 17 Mac nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI