fbpx

Enam negeri tidak ikut bubar DUN, jika PRU-15 diadakan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin pada Majlis Penyerahan Sistem MyCare semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Majlis Bandaraya Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan enam buah negeri dijangka tidak akan diadakan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keenam-enam negeri tersebut termasuk Negeri Sembilan telah berbincang mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aminuddin enggan memperincikan lima buah negeri lain yang terlibat dan memaklumkan kesemua negeri berkenaan telah menyatakan hanya akan membubarkan DUN selepas penggal tamat pada tahun hadapan.

“Saya ada berbincang dengan beberapa negeri, enam negeri termasuk Negeri Sembilan semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja tempoh hari.

“Enam negeri mengatakan mungkin mereka (tidak membubarkan DUN) sehingga ke akhir tempoh penggal, saya tidak boleh maklumkan negeri-negeri yang mana,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Aminuddin hadir pada Majlis Penyerahan Sistem MyCare semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada enam negeri itu termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan, Aminuddin bagaimanapun hanya memberi isyarat ‘mungkin’ tanpa menafikan atau mengiyakan kenyataan itu.

“Yang minta (PRU-15 segera) hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN pun ada yang minta dan ada yang tidak. Untuk makluman saya tidak bubarkan sehingga tamat tempoh penggal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI