fbpx
Anggota bomba melakukan operasi di kawasan runtuhan di Taman Bukit Permai, Ampang Jaya kelmarin.

Hujan lebat luar biasa punca runtuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hujan lebat luar biasa dan berterusan sejak Isnin lalu dipercayai menjadi salah satu punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Permai, Ampang Jaya kelmarin.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abdul Rasid Jaapar berkata, kejadian itu diibaratkan tanah runtuh dalam tertangguh disebabkan hujan lebat pada Isnin dan Selasa lalu, bukannya cuaca pada hari kejadian.

“Jadi, apabila hujan itu terlalu lebat, ada stuktur-struktur geologi yang mana menyebabkan tekanan air liang meningkat perlahan-lahan dan tanah akan lemah seterusnya runtuh (selepas dua ke tiga hari mengalami hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Abdul Rasid memberitahu, kebanyakan kejadian tanah runtuh seperti itu berlaku di negara se­perti Hong Kong.

Jelas beliau, keadaan itu berlaku disebabkan terdapat unsur-unsur geologi seperti struktur geologi atau paip dalam tanah yang menyebabkan air meresap ke bahagian tanah naik secara perlahan sehingga melembutkan tanah secara keseluruhannya sebelum berlaku runtuhan.

“Jika dilihat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai pada Khamis (kelmarin) kelihatan seperti cecair kerana kan­dungan air yang terlalu banyak di dalam tanah.

“Tanah runtuh juga bukan sahaja boleh berlaku semasa hujan lebat, ia bergantung kepada faktor geologi tanah di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Menurut Abdul Rasid, Ja­batan Meteorolgi (MetMalaysia) memainkan peranan besar bagi mendapatkan data-data cuaca dan pada masa yang sama, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa.

“Kebiasaannya apabila berlaku kejadian tanah runtuh, ia hanya dilaporkan sebagai ta­nah runtuh sedangkan bencana tersebut mempunyai jenis-jenisnya.

“Sekiranya jenis-jenis tanah runtuh ini diketahui, penduduk boleh membuat andaian apabila berlaku hujan lebat dan boleh melihat tanda-tanda sebagai persiapan awal,” ujarnya.

Sementara itu, (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan.

Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Keadaan ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya.

Keadaan tersebut juga berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN