fbpx

JDT belasah Sarawak 6-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebastian Velaquez meraikan gol jaringannya pada perlawanan menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kenduri gol ketika menewaskan Sarawak United FC 6-0 yang beraksi dengan 10 pemain pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Pada perlawanan itu, gandingan import berbisa JDT, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan dua gol bagi memastikan pasukan meraih kemenangan bergaya di hadapan kira-kira 14,000 penonton.

Seperti kebiasaannya ketika beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Benjamin Mora mempamerkan aksi bertenaga dan menguasai permainan sebaik minit pertama.

Bergson hampir membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi rembatan dari jarak 25 meter yang berjaya menewaskan penjaga gol namun sekadar menggegarkan palang gol.

Gol pembukaan JDT hadir pada minit ke-15 hasil jaringan Forestieri yang melepasi kawalan L. Kalaiharasan sebelum melepaskan rembatan lerek menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.

Bergson akhirnya berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring apabila meledak gol menerusi sepakan voli dari jarak dekat memanfaatkan hantaran lintang Arif Aiman Hanapi pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, skuad Kenyalang Emas cuba bangkit untuk mencari gol pembukaan namun tidak berjaya menewaskan benteng ampuh pasukan tuan rumah.

Pasukan pelawat itu memperoleh peluang keemasan untuk mencetak gol hasil serangan balas pantas pada minit ke-58 menerusi S. Veenod namun gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Pada minit ke-60, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 orang setelah pemain gantian, Raja Imran Shah Raja Amin setelah mengutip kad kuning kedua pada perlawanan itu.

Pada minit ke-63, Bergson menambah gol peribadi menghukum kealpaan pasukan Sarawak United dengan menjaringkan gol dengan rembatan kaki kirinya yang berpunca daripada sepakan percuma Forestieri.

10 minit berselang, Carli De Murga membuka buku jaringan bersama skuad Harimau Selatan apabila meledak gol hasil tandukan yang berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Arif Aiman.

Pada minit ke-80, pemain gantian, Safawi Rasid menambah derita pasukan Sarawak apabila meledak gol kelima perlawanan hasil umpanan cantik Bergson.

Pasukan JDT yang bertali arus melancarkan serangan ke arah kubu lawan yang tempang tanpa seorang pemain terus berpesta gol hasil jaringan Forestieri pada minit ke-84.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI