GEORGE TOWN – Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Jalan Tengah di sini berjaya menginovasikan Smart and Easy Table (SnET) 2.0 sebagai satu langkah penyelesaian menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah rendah.
Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, idea pengubahsuaian meja dan kerusi sedia ada dilakukan bagi tujuan mewujudkan suasana pembelajaran lebih efisien selain meningkatkan keyakinan dan keseronokan murid hadir ke sekolah.
Menurutnya, reka bina semula meja dan kerusi serbaguna itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama pihak Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Semestinya kami menyahut seruan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu beg sekolah berat dalam kalangan pelajar selain sedaya upaya mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa membeli beg besar atau beroda sekali gus mengatasi masalah tertinggal buku di rumah.
“Inovasi SnET ini menyediakan kemudahan seperti lokar dan laci menyimpan buku teks, nota dan aktiviti, tempat meletak bekas minuman, peralatan menulis di sisi meja serta beg sekolah di bahagian tepi kerusi. Murid hanya bawa pulang kerja sekolah di rumah.
“Peringkat awal, sebanyak 32 buah meja sudah pun siap dan digunakan di sebuah kelas sesi pagi dan petang menerusi sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan inovasi SnET 2.0 akan mula dimanfaatkan oleh 1,438 murid di 24 kelas dua sesi bermula April ini dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM106,000 daripada dana sebuah bank tempatan.
Untuk rekod, SK Seri Permai dikatakan menjadi sekolah pertama di negara ini yang melaksanakan program SnET secara keseluruhannya.
Kelmarin, akhbar Kosmo! melaporkan KPM akan sediakan kemudahan lokar di 10,662 kelas dua sesi di seluruh negara sebagai salah satu menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah rendah.
Bagi fasa pertama, kemudahan itu disediakan di sekolah rendah dua sesi dan memberi manfaat kepada seramai 323,000 pelajar tahap 1 iaitu tahun 1, 2 dan 3.
Sementara itu, Pengarah JPN, Abdul Rashid Abdul Samad pula memberitahu pihak berkenaan sedang melakukan kajian keberkesanan sebelum dibawa ke peringkat atasan.















