TANGGAL 22 Januari lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
Tindakan tersebut menyaksikan rakyat Johor sekali lagi akan turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menentukan parti yang akan menjadi pemerintah.
Bagi Nurul Ardini Khairulazmi, 19, dia berasa sangat teruja kerana telah dipilih secara automatik menjadi sebahagian daripada pengundi pada 12 Mac iaitu Sabtu ini bagi memilih wakil rakyat bagi kawasan kejiranannya.
“Selama ini saya hanya melihat orang lain mengundi, tetapi kali ini saya sendiri yang akan menjadi pemilih selepas kerajaan menguatkuasakan Undi18 bermula tahun ini.
“Bermula sekarang, saya perlu belajar untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan politik, apa kepentingannya kepada negeri dan negara.
“Malah, saya juga sudah mula menjalankan penyelidikan sendiri mengenai calon dan parti-parti yang bertanding kerana tidak mahu tersalah pilih pada hari mengundi nanti,” katanya yang berasal dari Bandar Seri Alam, Pasir Gudang kepada K2.
Dia yang kini menuntut di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Kolej Vokasional Johor Bahru bakal mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai bagi DUN Permas.
Pendekatan sama turut diambil seorang lagi pengundi muda, Muhamad Syafiq Shamsul, 20, yang kini sedang meneliti corak perubahan politik di negeri Johor sebelum mengundi pada 12 Mac ini.
Dia yang bakal mengundi di DUN Skudai turut mengakui, mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai senario politik tanah air khususnya di negeri berkenaan menyebabkan dia berasa sukar untuk membuat pilihan tentang siapa yang harus diundi.
“Secara umumnya, memang saya tidak tahu sangat mengenai politik kerana sebelum ini, saya beranggapan masih muda dan belum tiba masa untuk menjadi pemilih.
“Tetapi selepas Undi18 berkuat kuasa, secara automatik saya tergolong dalam kalangan pemilih pada PRN Johor kali ini.
“Mahu atau tidak, kini saya perlu ambil tahu tentang politik khususnya siapa yang menjadi calon di kawasan DUN Skudai, dia daripada parti mana dan apa perubahan dan pembaharuan yang ingin dilakukan,” katanya yang merupakan penuntut tahun dua jurusan Diploma Mekatronik di Politeknik Merlimau, Melaka.

Tambahnya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan haknya sebagai penundi kerana menyedari satu undi itu sangat penting dalam menentukan siapa yang akan menjadi pemerintah di negeri itu nanti.
Sebagai rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menentukan PRN Johor bakal berlangsung pada 12 Mac ini, dengan pengundian awal akan dilakukan pada 8 Mac.

Menurut data SPR, seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor, berlaku peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Jumlah itu turut menyaksikan penambahan sebanyak 749,731 pengundi baharu, khususnya golongan muda berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18 seperti yang telah diwartakan oleh SPR pada 14 Januari lalu.
Bagi Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, pertambahan jumlah pengundi muda pada PRN Johor kali ini bakal memberi peluang kepada golongan itu untuk menyuarakan kehendak dan impian mereka yang akan dizahirkan menerusi kertas undi.
Malah katanya, pertambahan jumlah pengundi baharu yang hampir mencecah 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi merupakan satu angka yang besar dan tidak boleh dipandang ringan oleh calon dan parti yang bertanding.
“Pindaan Enakmen Undi18 telah dilaksanakan sepenuhnya. Jadi, saya memang rasa begitu teruja sebab orang muda berumur 18, 19, 20 tahun sudah mampu mengundi dalam pilihan raya.Pilihan Raya Negeri Johor medan ujian Undi18
“Baru-baru ini juga kita menyaksikan berlakunyaa pindaan Enakmen Tubuh Kerajaan Negeri Johor untuk menurunkan umur calon agar selaras dengan kerajaan Persekutuan.
“Pada pendapat saya, ini merupakan perkembangan positif yang mana anak muda akan menjadi sebahagian daripada pilihan raya dan menjadi calon, serta kita akan nampak apa yang mereka mahukan,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Kanan dari Universiti Putra Malaysia, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, pelaksanaan Undi18 yang diwartakan bermula Januari lalu telah membuka satu lembaran baharu dalam landskap politik tanah air.
Malah kata beliau, mana-mana calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Johor tidak boleh lagi mengabaikan atau mengetepikan suara orang muda memandangkan mereka kini sudah diberi hak sebagai pemilih.
“Boleh dikatakan, parti-parti yang bertanding pada PRN Johor kali ini telah meletakkan calon dalam kalangan orang muda sebagai usaha mereka untuk memikat undi golongan tersebut.
“Malah, ia juga boleh dikatakan sebagai salah satu taktik untuk menarik lebih ramai golongan muda keluar mengundi pada hari pengundian 12 Mac ini, memandangkan jumlah pengundi daripada golongan itu yang mencecah kira-kira 30 peratus,” katanya.

Menurut Syed Agil lagi, memandangkan PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang menyaksikan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun menjadi pengundi, maka kajian pasca pilihan raya harus dilakukan oleh pelbagai pihak bagi melihat pengaruh dan kesannya kepada politik negara.
Ini kerana jelas beliau, golongan pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun dianggap masih mempunyai pengetahuan yang cetek berkaitan isu-isu politik tanah air dan mereka dibimbangi tidak mampu membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum keluar mengundi.
“Secara peribadi, saya agak bimbang dengan pengundi muda (18 hingga 20 tahun) ini kerana saya percaya, pengetahuan mereka mengenai politik masih sangat cetek.
“Jika mereka mengundi tanpa membuat justifikasi dan pertimbangan yang sepatutnya, ia dibimbangi akan menjejaskan keputusan PRN itu nanti, kerana golongan ini sangat mudah terpedaya dengan pelbagai maklumat yang diterima khususnya menerusi media sosial dan platform online.
“Situasi ini sudah tentu menjadi satu cabaran kepada calon dan parti politik yang bertanding untuk mencari kaedah bagaimana caranya untuk memenangi hati pengundi muda,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan agar pengundi muda pada PRN Johor agar membuat penilaian dan pilihan yang bijak dengan meneliti beberapa perkara penting sebelum membuang undi pada 12 Mac ini.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengundi muda adalah soal karisma dan perwatakan yang dibawa oleh calon, parti politik yang diwakilinya, ganjaran atau tawaran yang digariskan di dalam satu-satu manifesto.
Selain itu, faedah jangka panjang yang akan dinikmati rakyat di kawasan berkenaan khususnya, dan di negeri Johor amnya juga perlu diperhalusi.














