fbpx

Ibu Que Haidar meninggal dunia sebab Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU pelakon Que Haidar, Allahyarham Rahmah meninggal dunia awal pagi tadi disebabkan Covid-19 dan beberapa komplikasi penyakit kronik lain.

PETALING JAYA – Hasrat pelakon Que Haidar untuk pulang menemui ibunya hujung bulan ini tidak kesampaian apabila wanita itu terlebih dahulu dijemput Ilahi sekitar pukul 1.20 pagi tadi.

Ibu Que, Allahyarham Rahmah Hussein meninggal dunia disebabkan Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor.

Khabar mendukacitakan tersebut dikongsikan Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar yang turut memaklumkan Allahyarham ibunya menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Pagi semalam, kakak hubungi saya memaklumkan keadaan arwah. Mak nazak dan mengadu sakit dada padanya.

“Sebelum itu, arwah alami serangan jantung sebanyak empat kali. Kali pertama, terjadi di rumah adik saya di Pasir Gudang manakala selebihnya di hospital.

“Saya segera pulang ke kampung sendirian memikirkan arwah ibu masih kuat.

“Malah, ketika itu, abang beritahu jantung emak kembali stabil. Namun ternyata, Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Que tiba di HSA kira-kira pukul 6 petang, semalam. Ujarnya, kali terakhir dirinya pulang ke kampung bertemu arwah ibu Januari lalu.

“Kami sempat luangkan masa bersama dan bawa mak keluar berjalan dan menikmati asam pedas kegemarannya. Saya ingatkan nak pulang ke Johor Bahru bulan ini dan mencuri masa bersamanya.

“Kebetulan, ada kerja di sana namun, saya tidak sempat melunaskan hasrat itu,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem terbaharu arahannya berjudul Bahalol tidak lama lagi.

Jenazah Allahyarham Rahmah, 68, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, Johor, hari ini.

Allahyarham Rahmah meninggalkan 10 anak dan 27 cucu.

Sekitar 25 Februari lalu, Que, 43, turut mendedahkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 namun telah sembuh sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI