fbpx
HIDIR ALI bersama koleksi majalah filem klasik yang menjadi koleksi kesayangannya.

Berhabis duit obses filem Melayu klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU dah suka dan obses dengan sesuatu perkara, seseorang individu sanggup buat apa sahaja untuk memenuhi minat tersebut.

Itu yang berlaku kepada seorang peminat tegar filem Melayu Klasik, Hidir Ali Razali, 38, dari Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, minat terhadap filem klasik tidak pernah padam walaupun era kehebatan filem Melayu terbitan Malay Film Production di Jalan Ampas dan Cathay-Keris di East Coast Road itu telah lebih setengah abad berakhir.

Dek kerana minat mendalam dalam perkara itu, bekliau turut menghasilkan dua buku berkaitan sejarah filem Melayu iaitu Di Sebalik Tirai Layar terbitan Patriots Publication dan biografi Nordin Ahmad: Permata Seni Terbilang terbitan Sinefilia Book.
————————————————————————————————————————————————————–
MINAT membuatkan seseorang itu tidak kenal erti penat. Begitulah sebaris ayat bagi menggambarkan kecintaan dan obsesi seorang insan terhadap sesuatu perkara dalam kamus hidupnya.

Menonton filem Melayu klasik dari zaman dua warna, hitam dan putih hingga era Eastman Color berwarna-warni seolah-olah kita menyaksikan catatan sejarah sesuatu negara mahupun masyarakat setempat.

Dalam sesebuah filem klasik, kita disajikan dengan plot dilakonkan oleh seniman dan seniwati berbakat yang mampu membuatkan kita yang menontonnya mengalir air mata dan ketawa gembira. Malah, jika menonton filem Melayu klasik, kita turut disaji halwa telinga berupa lagu dendangan penyanyi lama seperti Ahmad CB, Jasni, Momo Latif, Nona
Asiah, Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Saloma dan lain-lain.

Seperti peminat filem yang lain, kira-kira 30 tahun yang lalu, seorang kanak-kanak dalam diam-diam turut meminati aksi pelakon filem klasik yang dipapar di layar peti televisyen (TV) hitam dan putih.

Apabila Hang Jebat lakonan Seniman Nordin Ahmad bersilat dengan M. Amin sebagai Hang Tuah dia mula mengagumi karisma pelakon-pelakon filem klasik tersebut.


KOLEKSI video filem-filem lama lakonan P. Ramlee, Nordin Ahmad dan lain-lain.

Kanak-kanak kecil dari Seksyen 17, Shah Alam, Selangor itu, Hidir Ali Razali kini sudah dewasa dan berusia 38 tahun, namun minatnya terhadap filem klasik tidak pernah padam walaupun era kehebatan filem Melayu terbitan Malay Film Production di Jalan Ampas dan Cathay-Keris di East Coast Road itu telah lebih setengah abad berakhir.

Menurut Hidir Ali, menonton filem Melayu klasik seperti filem karya P. Ramlee, Salleh Ghani dan Hussain Hanif di samping membaca majalah filem klasik seperti Gelanggang Film, Mastika Filem dan Berita Filem memberi ketenangan dan keceriaan dalam dirinya.

Hidir Ali sendiri dek kerana minat mendalam telah menghasilkan dua buku berkaitan sejarah filem Melayu iaitu Di Sebalik Tirai Layar terbitan Patriots Publication dan biografi Nordin Ahmad: Permata Seni Terbilang terbitan Sinefilia Book.

Terkini, Hidir Ali dalam rangka menyiapkan tiga buah buku yang berkaitan filem iaitu Di Sebalik Tirai Layar 2, Daftar Filem Melayu (1933-2020) dan 50 Hero Sinema Melayu.

Sejak di bangku sekolah, minatnya terhadap dunia perfileman Melayu di era Studio Jalan Ampas dan Cathay- Keris tidak pernah padam.

Apa yang pelik, dalam usia yang muda kira-kira sedekad lalu, Timbalan Presiden Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik (KFMMK) itu sudah cukup petah bercerita mengenai sejarah perkembangan filem Melayu seolah-olah dirinya hidup pada era Studio Jalan Ampas yang merupakan lokasi filem terbitan Malay Film Production (MFP).

HIDIR ALI bersama blazer milik seniman Nordin Ahmad.

Hidir Ali berkata, jiwanya sarat dengan kecintaan terhadap filem Melayu sejak pertama kali dia menonton Tayangan Gambar filem Melayu klasik di RTM 1, kebiasaannya setiap Jumaat malam Sabtu.

“Saya juga merupakan peminat termuda Persatuan Peminat P. Ramlee Malaysia pada usia 15 tahun. Dari situ, saya menanam minat kepada filem Melayu terutama melibatkan karya Tan Sri P. Ramlee.

“Siapa yang tidak kenal Seniman Agung itu memang bukan orang Malaysia. Filem garapan Tan Sri bukan saja menyentuh permasalahan orang Melayu, malah kaum-kaum lain atas semangat perpaduan,” katanya ketika ditemui Panorama di Shah
Alam baru-baru ini.

Hidir Ali berkata, sejak umurnya 15 tahun, dia telah mengumpul maklumat tentang filem Melayu sama ada dalam bentuk majalah lama, video, keratan akhbar bahkan apa saja bahan bertulis berkaitan dunia perfileman.

Jelasnya, selain P. Ramlee, Nordin Ahmad dan lain-lain pelakon lama seperti Saadiah, Datin Rosnani Jamil, Latifah Omar dan Datuk Seri Maria Menado turut menjadi idolanya.

“Saya sendiri telah menemui waris-waris Nordin Ahmad dalam usaha mewujudkan satu buku tentang seniman yang penuh penghayatan dalam menghidupkan wataknya sebagai Hang Jebat, Damak mahupun Taruna itu. Watak sebagai Damak dan Hang Jebat menyebabkan semua peminat filem Melayu mengingati beliau sehingga kini. Seolah-olah dua watak hidup di dalam dirinya dan catatan sejarah sebenar,” ujarnya.

BERPELUANG bergambar kenangan bersama Allahyarham Datuk Aziz Satar.

Mengulas mengenai bahan-bahan perfileman Melayu lama yang disimpan dalam koleksinya, Hidir Ali berkata, terdapat 1,500 gambar melibatkan dunia filem Melayu lama dikumpulnya sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, dia turut berhabisan wang ringgit untuk memiliki koleksi buku tentang filem yang disifatkan sebagai barang edisi terhad dan diburu peminat pada masa depan.

“Sebagai contoh, saya memiliki buku tulisan Sasterawan Negara, Abdullah Hussain pada tahun 1966 bertajuk Gagak Di Rimba mengisahkan biografi P. Ramlee.

“Walaupun Allahyarham P. Ramlee sudah meninggal dunia pada 29 Mei 1973, namun kisah hidupnya terus diperkatakan.
Sebagai peminat dan pengkaji filem, saya bertanya sendiri kepada waris dan sahabat karib beliau bagi memastikan tidak timbul persepsi yang menyakitkan hati peminat tegar lama dan baharu Seniman Agung itu,” katanya.

Jelas Hidir Ali yang merupakan seorang usahawan hasil tani lagi, bintang filem Melayu seperti P. Ramlee dan Nordin Ahmad bukan saja menghidupkan watak mereka di dalam filem tetapi juga memberi cetusan semangat untuk orang kita memperjuangkan hak sebagaimana watak mereka di dalam filem.

Atas dasar minat mendalam juga, Hidir Ali sanggup mengabadikannya dalam kaset video yang dirakam semasa ditayangkan di kaca TV hampir tiga dekad lalu.

“Zaman itu zaman video dan panggung wayang, belum ada lagi YouTube dan rakaman digital. Pada masa itu, video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) juga masih belum wujud lagi.

“Generasi WeChat dan media sosial bertuah kerana zaman mereka semua di hujung jari sahaja, yang penting ada data, sebaliknya dahulu semua perlu dirakam dengan pita kaset,” katanya.

Mengulas tentang filem era pasca- Malay Film Production dan Cathay- Keris di Singapura serta zaman Studio Merdeka di Hulu Klang, Hidir Ali berkata, filem-filem arahan P. Ramlee dan lain-lain pengarah berbeza dari pelbagai aspek.


HIDIR ALI menunjukkan buku nukilannya Di Sebalik Tirai Layar dan buku tulisan Abdullah Hussain mengenai P. Ramlee, Gagak Di Rimba.

“Setiap zaman ada perkembangan semasa sosioekonomi dan sosiopolitik berbeza, maka filem pun perlu kekal relevan dengan isu semasa.

“Dari zaman Osman Gumanti menjadi hero dalam filem Melayu hingga zaman ini, kita ada hero seperti Datuk Rosyam Nor dan terkini Remy Ishak kesemua mereka ada pesona masing-masing. Filem mereka mempunyai tema berlainan tetapi apa yang menyebabkan peminat jatuh cinta kepada mereka adalah kerana bakat dan penghayatan watak yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, seseorang peminat filem kadangkala terbawa-bawa imej hero atau heroin filem dalam kehidupan hariannya dan dirinya tidak terkecuali.

Perkara itu bukanlah pelik, kerana sudah menjadi sifat manusiawi itu sendiri. Tak kenal maka tak cinta, apabila cinta sudah di jiwa maka minat terhadap dunia perfileman Melayu lama bersemadi selamanya.

“Sebagai peminat filem Melayu klasik saya harap minat yang saya semai dari usia hijau ini dapat didokumentasi untuk rujukan generasi akan datang. Jika dahulu filem Ibu Mertua Ku popular dengan watak Combi, hari ini pengarah filem seluruh dunia hasilkan filem Zombi termasuk arwah Mamat Khalid dengan Zombie Kampung Pisang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN