fbpx

Solat tarawih mungkin dibenarkan 8 rakaat sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS Ahmad melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia ke Pantai Timur di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini berkemungkinan akan digalakkan untuk menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah dengan bilangan hanya lapan rakaat berbanding 20 rakaat.

Perkara itu antara prosedur operasi standard (SOP) dibayangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ekoran kekhuatiran penularan varian Omicron melibatkan jemaah ketika ini.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara itu masih lagi tertakluk kepada ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mungkin setakat lapan rakaat sahaja tetapi SOP ini belum dimuktamadkan lagi dan akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum menjelang awal Ramadan bulan depan,” jelasnya.

Terdahulu beliau menghadiri acara pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia agensi jabatan tersebut ke Pantai Timur di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan 20 rakaat untuk solat tersebut namun dengan bacaan ayat al-Quran yang pendek selepas surah Al-Fatihah.

Kerajaan Arab Saudi turut mengarahkan solat berkenaan hanya ditunaikan lapan rakaat pada Ramadan tahun lalu sebagai ikhtiar bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19 sesama jemaah.

Mengulas lanjut, Sirajuddin turut meminta umat Islam agar tidak pula bertelagah dalam isu bilangan rakaat solat sunat tersebut kerana bukan kesalahan didirikan lapan rakaat sahaja.

“Apa yang penting ialah berpuasa siang hari sebab itu perkara fardu pada Ramadan manakala solat tarawih pula sunat dituntut bagi memperbanyakkan ibadah sebelah malam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI