RAMAI yang tertanya-tanya adakah kita sudah boleh menerima kehadiran Covid-19? Ini kerana masyarakat dilihat sudah semakin selesa melepak dan berkunjung ke tempat sesak biarpun kes harian sudah lima angka.
Malah, ada individu yang dijangkiti Covid-19 masih bebas keluar dan tidak memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan menerusi MySejahtera.
Sikap tidak cakna dan mementingkan diri itu berlaku berdasarkan pengakuan yang dibuat beberapa individu.
Seorang pesakit Covid-19 dikenali Az, 29, berkata, dia terpaksa keluar membeli barangan sebagai persediaan sebelum menjalani kuarantin di rumah selepas dijangkiti virus berkenaan.
“Saya bujang dan tinggal seorang diri. Oleh kerana bimbang barangan keperluan habis dan ubat tak cukup sepanjang kuarantin, saya terpaksa keluar.
“Sebaik pulang ke rumah, saya membuat pengisytiharan dalam MySejahtera. Walaupun berada di luar, saya memakai pelitup muka, menjarakkan diri daripada individu lain dan tidak pergi ke tempat ramai orang,” katanya.
Seorang lagi pesakit Covid-19 dikenali sebagai Mar, 38, memberitahu, ketiadaan ‘gelang merah jambu’ memudahkan dia keluar membeli barangan dan berkongsi lif dengan penghuni apartmen lain sekiranya terpaksa turun ke bawah mengambil makanan.
Selain itu, kelonggaran bagi pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) melalui kuarantin di rumah turut disalah guna segelintir mereka.
Tinjauan turut mendapati, kebanyakan premis tidak lagi memeriksa status MySejahtera pelanggan selain penguatkuasaan yang dilihat semakin lemah yang sekali gus menyumbang kepada risiko jangkitan.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Zaid Ahmad berkata, setiap rakyat perlu mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat bagi memastikan rantaian pandemik tersebut dapat diputuskan.
“Kita sudah melalui pandemik sudah lama sejak 2020 dan dikenakan pelbagai sekatan serta prosedur. Sebagai masyarakat bertamadun, kita seharusnya sudah mempunyai kesedaran dan telah belajar banyak perkara.
“Dalam isu sebegini, kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa semata-mata kerana mereka mempunyai pelbagai tugasan lain juga.
“Sekiranya rakyat tidak mempunyai kesedaran dan disiplin diri yang tinggi, jangan cakap kita dapat kurangkan kes-Covid-19, tetapi mungkin akan terus hidup bersamanya sampai bila-bila,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Oleh itu, Zaid berpandangan sudah tiba masanya penduduk di negara ini mempraktikkan sepenuhnya konsep ‘Kita Jaga Kita’ demi kesejahteraan bersama.














