PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan termasuk di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Putrajaya dan Labuan malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Raub, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin. Negeri Sembilan di Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.
“Johor di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru. Sarawak di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Miri (Miri dan Marudi) serta Limbang,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Pedalaman (Sipitang dan Tenom) di Sabah.
Jelas kenyataan itu lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














