fbpx

Mora puas dendam JDT akhirnya terlunas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JDT membuka tirai saingan musim baharu dengan langkah kanan apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih menewaskan KL City kelmarin.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati dengan aksi bertenaga yang dipamerkan anak buahnya apabila menundukkan Kuala Lumpur City 3-0 bagi merangkul Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.

Mora berkata, pada perlawanan itu skuad Harimau Selatan berjaya mempamerkan karakter tersendiri apabila menguasai perlawanan sepenuhnya sebaik sepak mula dan rancak melancarkan serangan bertali arus hingga KL City yang berkampung di kawasan sendiri gagal mengekang kemaraan JDT.

Bagaikan sudah dapat membaca taktik seterunya, Mora tidak memberi ruang buat pasukan lawan untuk berehat de­ngan menggandakan asakan bagi memburu gol awal supaya pasukannya dapat bermain dengan lebih tenang apabila babak ke­dua bersambung.

“Kami sudah membaca muslihat mereka yang akan bermain bertahan dan menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas pantas. Bagaimanapun, pemain JDT mempamerkan semangat juang tinggi, tidak memberikan ruang untuk meranapkan impian mereka.

“Saya berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pemain dan kami membuat persiapan rapi bagi perlawanan ini. Inilah realiti yang sebenar, apa yang berlaku di Bukit Jalil (kalah final Piala Malaysia) tidak akan berlaku lagi tapi keputusan malam ini boleh berlaku berulang-ulang kali.

“Ini sudah menjadi resam dalam bola sepak, ada masanya kita perlu kalah (final Piala Malaysia) untuk kembali bangkit lebih hebat bagi mengharungi musim baharu,” katanya pada sidang akhbar malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, pe­nyerang import baharu, Fernando Forestieri meledak gol pertama pada aksi debut, manakala dua gol lagi dijaringkan Nazmi Faiz Mansor pada babak pertama serta, Afiq Fazail yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Mengulas mengenai aksi Fores­tieri, Mora memberitahu, dia mempamerkan aksi yang memukau membantu pasukan selain menjadi pemain yang boleh diberikan kepercayaan untuk mencetak gol pada perlawanan yang mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI