MUNGKIN jejaka tinggi lampai dengan rupa paras kacak bernama Meerqeen antara yang dikenali pengikut dan peminat industri hiburan tanah air ketika ini.
Bakat lakonan yang mengalir deras dalam dirinya juga usah dipertikaikan kerana dari situlah titik mekarnya karier seni anak muda kelahiran Ampang, Selangor itu mula kelihatan.
Memberi salam perkenalan sekitar dua tahun lalu menerusi naskhah fenomena, Angkara Cinta, bakat lakonannya walaupun merupakan percubaan pertama memasuki set pantas mendapat pujian ramai.
Lakonannya menerusi drama terbitan Astro bergandingan bersama pelakon popular, Hun Haqeem tersebut terus menuai pujian dek watak sebagai anggota polis yang berjaya dihidupkan dengan caranya sendiri.
Sejak itu, namanya mula menjadi perhatian rumah produksi dan wajahnya laris sehingga kerap muncul dalam televisyen.

Tidak setakat itu, populariti Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam turut melonjak apabila mula disunting bagi menjayakan beberapa kempen jenama besar sebagai duta.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Jujur saya katakan langsung tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini.
“Kalau ikutkan, terjun dalam lakonan hanya cuba nasib selepas tamat menyertai Hero Remaja dulu.
“Saya anggap dan terima semua ini sebagai rezeki. Insya-Allah dari semasa ke semasa saya akan terus lakukan yang lebih baik dari sebelumnya,” katanya membuka bicara bersama Pose.
Makin laku
Meneruskan perkongsian, pemenang tempat ketiga dalam program pencarian bakat lelaki tempatan itu memberitahu, jadual kerja seninya juga sudah mula sibuk dan padat untuk sepanjang tahun ini.
Untuk tahun ini saja kata Meerqeen, ada beberapa projek lakonan yang bakal dan sedang dijayakannya termasuklah kempen-kempen iklan.

“Alhamdulillah. Kalau sebelum ini saya rehat sebentar daripada kerja-kerja seni yang tertangguh disebabkan pandemik membadai kerana industri turut sama terkena impak.
“Jadi selepas sudah dibenarkan untuk kami anak-anak seni berlakon semula, maka bermulalah hari-hari yang penuh dengan kesibukan.
“Jujur kadang saya penat dengan semua ini. Tetapi bukan saya seorang yang terkesan dan mencari rezeki dalam bidang ini, jadi mahu atau tidak, kita kena terima dan teruskan.
“Pada saya, walau sulit dan sebesar mana pun ujian mendatang tidak kira dalam apa jua aspek sekali pun, kalau sudah tertulis rezeki itu untuk kita, pasti tidak ke mana,” ujarnya.

Kongsi pelakon berusia 21 tahun itu lagi, dia akan muncul dalam sebuah drama berjudul Ash dan Aish terbitan Astro tidak lama lagi termasuk naskhah yang akan ditayangkan pada Ramadan kelak, Melur Untuk Firdaus.
“Kedua-dua drama tersebut saya sekali lagi diberi kepercayaan memegang watak utama. Kedua-dua naskhah berkenaan merupakan genre yang agak berbeza berbanding dengan apa yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Sekarang drama Melur Untuk Firdaus masih lagi dalam proses penggambaran dan akan selesai pertengahan April depan sebelum ditayangkan pada bulan puasa nanti,” katanya.
Vokal, kolaborasi
Tidak setakat aktif sebagai pelakon, Meerqeen sebenarnya sedang berjinak-jinak menjadi seorang penyanyi.
Buktinya, single sulung berjudul Menunggumu yang dilancarkan sekitar Oktober tahun lalu dilihat masih diterima pendengar dan peminat sampai ke hari ini.
Kata Meerqeen, jujur dari dalam hati, dia sebenarnya langsung tidak meletakkan harapan setinggi gunung untuk single perdananya itu.
Hal ini kerana dia tahu kelemahan yang bersarang dalam dirinya.

“Ya, saya tahu dan akui kalau dari segi nyanyian memang saya agak lemah sedikit, tetapi itu tidak bermakna saya terus mengalah atau enggan lagi mencuba.
“Saya sedar, perlu banyakkan latihan terutama dalam memantapkan lagi vokal jika saya mahu benar-benar serius ke arah itu.
“Alhamdulillah, sampai sekarang, walaupun lagu tersebut tidaklah meroket atau jadi fenomena apatah lagi tular, tetapi jauh dari sudut hati saya bersyukur dan bangga dengan diri sendiri kerana peminat masih mendengarnya.
“Lebih terharu apabila lagu genre pop balada tersebut tidak setakat didengari malah dikongsikan peminat kepada saya menerusi mesej langsung (DM) dalam Instagram,” katanya.
Jelas Meerqeen, keadaan tersebut membuatkan dia memiliki semangat untuk terus menyahut cabaran dan bersungguh-sungguh dalam nyanyian selepas ini.
Pun begitu, dek kesibukan dan masa terhad, dia masih belum ada perancangan untuk hadir dengan single kedua dalam waktu terdekat.
“Perancangan untuk menghasilkan single baharu dan kolaborasi bersama penyanyi lain memang ada.
“Cuma waktu yang terhad membataskan saya untuk berbuat demikian. Tidak mengapalah, biarlah satu per satu dijalani,” tutupnya.














