Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di George Town kini menjadi perhatian ramai selepas dinamakan jalan tertinggi di negara ini.
Berketinggian 61.5 meter (m) merentasi kawasan berbukit, jalan raya di atas jejambat tersebut mengatasi ketinggian yang dicatatkan oleh Lebuh Raya Rawang-Serendah (Rawang Bypass) di Selangor setinggi 58.2 m.
Struktur bertiang kelabu itu juga turut dilihat sebagai ikon baharu negeri tersebut sebaris dengan mercu Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau juga dikenali sebagai Jambatan Kedua selain bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
————————————————————————————————————————————————-
KETIKA pembinaannya kira-kira enam tahun lalu, rata-rata penduduk Pulau Pinang tidak terlalu mengambil berat tentang projek pembinaan jalan raya ini.
Mereka sekadar menganggapnya sebagai salah satu daripada sekian banyak projek pembangunan di negeri itu yang pesat membangun.
Kalau adapun, cumalah terdapat beberapa suara oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang membantah pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di George Town tersebut berikutan pembinaannya membabitkan kawasan berbukit.
Sehinggalah selepas perasmiannya pada 13 Januari lalu apabila jejambat tersebut mula menjadi perhatian bukan sahaja kepada rakyat negeri itu, bahkan popular di seluruh negara selepas dinamakan sebagai jalan tertinggi di Malaysia.
Dengan berketinggian 61.5 meter (m) merentasi kawasan berbukit, jalan raya di atas jejambat tersebut mengatasi ketinggian yang dicatatkan oleh Lebuh Raya Rawang-Serendah (Rawang Bypass) di Selangor setinggi 58.2 m.
Namun, tiada pengiktirafan secara rasmi ia sebagai jalan raya tertinggi di negara ini setakat ini.
Struktur bertiang kelabu itu juga turut dilihat sebagai ikon baharu negeri tersebut sebaris dengan mercu Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau juga dikenali sebagai Jambatan Kedua selain bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Jalan raya sepanjang 3.8 kilometer (km) yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kos RM378.2 juta itu merupakan inisiatif kerajaan negeri sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Ia juga menawarkan pemandangan indah kehijauan kawasan berbukit apabila ramai pengguna mengambil kesempatan memberhentikan kenderaan bagi merakam gambar berlatarbelakangkan Bukit Kukus.
Menyingkap semula proses pembinaannya, ada juga nyawa yang terkorban. Seramai sembilan orang maut, manakala tiga lagi dilaporkan cedera dalam insiden tanah runtuh di tapak projek pada Jumaat, 19 Oktober 2018.
Kejadian kira-kira pukul 1.50 petang tersebut berlaku apabila 13 kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja ranap ditimpa tanah runtuh ketika sebahagian mereka sedang berehat.
Sembilan yang dilaporkan maut ialah lima lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Indonesia dan seorang wanita Myanmar.
Akibat insiden tersebut, syarikat kontraktor projek didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di George Town pada Februari 2019 selepas didapati bersalah gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh selain disenarai hitam kerajaan negeri.
Dua minggu sebelum itu, berlaku kejadian runtuhan rasuk kira-kira 500 meter dari tapak insiden tersebut, namun tiada jiwa yang terkorban.
Projek yang asalnya dijadualkan siap pada Julai tahun lalu itu juga tertangguh berikutan pandemik Covid-19 selain beberapa isu teknikal membabitkan kerja-kerja tambahan.
Selepas melalui pelbagai episod suka duka, projek berkenaan kini memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 penduduk di sekitar kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitar.
Pembinaannya adalah bertujuan menyelesaikan kira-kira 30 peratus masalah trafik berikutan kesesakan waktu puncak yang dialami di Jalan Paya Terubong dan Lebuh Raya Thean Teik-Jalan Bukit Kukus.

MBPP akan melakukan penurapan semula setiap 10 tahun selain pemeriksaan reka bentuk terhadap foundation binaannya setiap 20 tahun untuk memastikan keselamatan jalan raya tinggi tersebut.
Seorang penduduk Balik Pulau, Azmah Hashim, 32, berkata, dengan siapnya laluan berkenaan, ia telah memendekkan masa perjalanannya ke tempat kerja di Bukit Jambul.
“Jalan baharu ini memendekkan masa dari 10 hingga 15 minit ke dua hingga tiga minit sahaja. Lebih penting, jalannya selesa, tidak curam dan kurang selekoh,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Sementera itu, seorang peniaga di kawasan rehat Anjung Singgah, Balik Pulau yang terletak kira-kira 1km dari jalan tertinggi tersebut, Mohd. Fazli Abd. Rahman, 39, berkata, ia merupakan tarikan pelancongan baharu Pulau Pinang.
“Oleh kerana Anjung Singgah adalah tempat paling dekat untuk pengguna membuat pusingan balik selepas melalui jalan baharu itu, ia memberi manfaat kepada peniaga-peniaga di sini kerana pengunjung akan singgah di situ.
“Ia juga memudahkan perjalanan pelancong untuk meneroka tempat-tempat pelancongan menarik di kawasan Balik Pulau,” kata peniaga ayam bakar pasu tersebut.

Menyentuh soal keselamatannya, Setiausaha MBPP, Ir. A. Rajendran berkata, jalan itu dibina berdasarkan rekaan standard Malaysia, U3 di mana ia mengambil kira kawalan kelajuan selain aspek keselamatan di selekoh, radius, ‘central island’, laluan pejalan kaki dan perparitan.
“Selain itu, kita mempunyai konsultan berpengalaman luas dalam rekaan mitigasi cerun bagi memastikan keselamatan pengguna.
“Pakar geologi turut mengambil bahagian dalam kajian cerun selain pemeriksaan berkala bagi memastikan cerun sentiasa selamat,” katanya.
Menurut Rajendran lagi, berikutan pentingnya faktor penyelenggaraan, MBPP akan melakukan penurapan semula setiap sepuluh tahun selain pemeriksaan reka bentuk terhadap foundation pada setiap 20 tahun.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jalan raya itu merupakan salah satu daripada tiga fasa projek jalan raya yang bersambungan.
“Dua bahagan lagi akan ditanggung pemaju (berdekatan) iaitu sambungan oleh PLB Land Sdn. Bhd. yang telah mencapai kemajuan kira-kira 20 peratus dan dijangka siap pada 2025.
“Bahagian akhir di bawah Geo Valley Sdn. Bhd. bagi menyiapkan sambungan jalan ke Lebuh Raya Thean Teik juga dijangka siap 2025.

SEMBILAN pekerja pembinaan maut akibat kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan raya ini pada 2018.
“Pembinaan bagi ketiga-tiga fasa jalan itu membabitkan kos keseluruhannya sebanyak RM545.6 juta bagi jarak 5.5km,” katanya.















