KUANTAN – Rakyat negara ini perlu lebih berwaspada pada masa depan apabila Malaysia dijangka berdepan dengan bencana alam luar biasa yang lebih kerap pada masa akan datang ekoran kesan pemanasan global yang menyebabkan perubahan iklim.
Antara bencana alam yang bakal berlaku lebih kerap berbanding sebelum ini seperti kejadian tanah runtuh, banjir besar, kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan serta tanah gambut.
Malah, kejadian gempa bumi yang sering terjadi di negara jiran seperti Indonesia juga menyebabkan Malaysia terdedah dengan risiko kerosakan bangunan serta kejadian tanah runtuh akibat gegaran tersebut.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian cuaca ekstrem itu boleh berlaku di mana-mana kawasan di Malaysia bergantung kepada musim.
Menurutnya, bencana berkaitan dengan cuaca yang berpotensi berlaku ialah kejadian tanah runtuh dan banjir berskala besar akibat hujan lebat berterusan dan ekstrem.
“Kejadian kemarau, kebakaran hutan dan tanah gambut serta gelombang haba pula disebabkan cuaca kering dan peningkatan suhu yang ekstrem,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Beliau berkata, bencana berkaitan cuaca seperti hujan lebat berterusan kebiasaannya berpunca daripada luruan monsun ketika monsun timur laut dan sistem cuaca tekanan rendah yang menggalakkan pembentukan awan, sekali gus mengakibatkan hujan berpanjangan.
Ujarnya, perubahan iklim turut memainkan peranan dalam berlakunya bencana alam luar biasa dan jika terus berlaku, ia berpotensi menyebabkan kejadian cuaca ekstrem semakin kerap.
“Orang ramai perlu peka serta mengetahui tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana. Lebih penting, semua orang perlu bersama-sama membendung perubahan iklim.
“Mereka juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web MET Malaysia iaitu www.met.gov.my serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini dan sahih,” ujarnya.
Pada akhir tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dilaporkan berkata, sekumpulan tujuh orang pakar bencana dan cuaca tempatan berpendapat Malaysia terus berdepan situasi bencana alam luar biasa yang lebih kerap pada masa akan datang.
Beliau memberitahu, penyelidik tempatan itu juga meramalkan bencana alam mungkin berlaku di kawasan yang langsung tidak dijangka.
Menurutnya, beliau telah menerima pelbagai cadangan, maklum balas dan penambahbaikan perlu daripada pakar dan penyelidik itu untuk dikemukakan kepada jemaah menteri kelak bagi tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE














