ENAM tahun memerah keringat untuk dikenali. Bukan perjalanan yang mudah untuk mencorakkan kanvas seni Nelissa Nizam yang sebelum ini polos kerana kurang dikenali ramai.
Siapa sangka, watak sampingan bernama Maria yang digelar sebagai Gadis Katak dalam drama popular Budak Tebing 2 berjaya melonjakkan namanya sebaris dengan pelakon tanah air lain.
Ternyata, segala keringat yang ditabur selama enam tahun berbayar. Bukan mudah memahat nama apatah lagi untuk terus diingati umum dan itu turut diakui pelakon berusia 24 tahun itu.
“Lambat naik tetapi saya anggap tempoh enam tahun itu sebagai fasa pembelajaran,” demikian respons Nelissa kepada Hib Glam tentang momentum kariernya selama ini.
Manis disolek sentuhan El Manda Zuhairy, Nelissa yang anggun menggayakan busana berwarna hijau neon ketika sesi fotografi tempoh hari mengakui tidak sekalipun berkecil hati walaupun dirinya lambat ‘dipeluk’ populariti.

Tuturnya, berkat kesabaran yang dirangkul selama ini akhirnya terbayar selepas berjaya terpilih memegang watak utama buat julung kalinya dalam sebuah drama bersama Zul Ariffin.
“Saya rasa selama enam tahun dahulu ibarat kelas untuk diri bersedia menghadapi fasa sekarang.
“Jadi apabila dapat peluang menjadi pelakon utama, saya rasa berbaloi menjalani penantian selama ini dan kumpulkan semua pengalaman sebagai ilmu yang berguna ketika ini.
“Tipulah tidak terasa hati lambat dikenali tetapi saya berpegang dengan satu prinsip, jangan putus asa. Buktinya, saya bangga dengan momentum karier ketika ini. Banyak yang saya hajati sudah tercapai,” katanya lagi.
Tiada syarat
Namanya baru-baru ini tanpa terduga menjadi bualan ramai selepas tular beberapa video aksi romantis bersama Zul dijadikan bahan promosi drama terbaharu mereka berjudul Tarik Aku Ke Syurga.
Belum tayang tetapi sudah viral. Begitulah penangannya apabila bergandingan dengan hero pujaan ramai.
Disebabkan aksi mesra tersebut Nelissa berkata, hubungannya dengan aktor bertubuh sasa itu mula menjadi tanda tanya peminat.

“Sebenarnya, aksi mesra tersebut hanya untuk mempromosikan drama Tarik Aku Ke Syurga yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Tidak sangka pula ramai menegur dan tak puas hati sehingga ada peminatnya yang marah. Rasa-rasanya aksi kami ketika sesi fotografi tersebut tidaklah terlalu berlebihan,” jelasnya.
Pelakon yang sering dikatakan mirip Ayda Jebat itu memberitahu, dia juga tidak mengambil pusing segala komen negatif yang dilempar oleh umum.
“Prinsip saya, abaikan saja semua perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada emosi sendiri.
“Saya cuma jalankan tugas sebagai pelakon dan semua paparan romantis tersebut hanya berlaku di set penggambaran, tidak lebih dari itu,” tuturnya lagi.

Ditanya adakah dia pernah meletakkan syarat untuk diri sendiri sebelum memulakan kerjaya sebagai pelakon enam tahun lalu, jawabnya tidak.
“Saya tak pernah meletakkan syarat seperti tidak boleh bersentuhan atau enggan melakonkan babak tertentu.
“Seboleh-bolehnya saya nak jadi pelakon versatil yang mampu menjayakan semua karakter diberi. Saya nak dikenali sebagai ‘campak apa sahaja padanya, dia boleh lakukan’,” kongsinya lagi.
Artis berilmu
Usai berbicara tentang karier, dia yang pernah membintangi drama Sitik Tok itu memberitahu sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor.
“Sekarang saya pelajar separuh masa di UiTM yang kini dalam semester ketiga.
“Jadual harian saya memang padat tetapi alhamdulillah sehingga kini boleh bahagikan masa dengan baik. Tiada isu tidak sempat menyiapkan tugasan sehingga kerja sebagai pelakon terganggu,” ujarnya lagi.

Mahu menjadi selebriti berilmu, itu impian yang dipegangnya sejak dahulu.
“Dari dahulu, saya nak memiliki ilmu dalam bidang yang saya ceburi. Sekurang-kurangnya pendidikan yang saya miliki ini boleh digunakan pada satu hari nanti.
“Manalah tahu jika tidak lagi menjadi pelakon, boleh ceburi bidang lain seperti penyiaran atau penulisan,” katanya.
















