KIEV – Tindakan seorang wanita Ukraine yang berani berdepan dengan tentera Rusia lengkap bersenjata beberapa jam selepas pencerobohan berlaku telah dirakam dan tular di media sosial, lapor akhbar The Sun semalam.
Wanita itu menuntut ingin mengetahui apa yang tentera Rusia lakukan di negaranya.
“Apa yang kamu lakukan di negara kami? Kalian akan mati jika kekal berada di Ukraine,’’ jerit wanita berkenaan.
Sebahagian pengguna laman Twitter memuji keberanian wanita berkenaan selepas rakaman konfrontasi itu menjadi tular.
“Siapa kamu?’’ tanya wanita tersebut. “Kami ada latihan di sini. Jauhi tempat ini,’’ balas tentera Rusia tersebut.
“Kalian penakluk, kalian fasis! Apa yang kalian lakukan di tanah kami dengan senjata ini? Ambil benih ini dan masukkan ke dalam poket. Sekurang-kurangnya bunga matahari akan tumbuh apabila kalian semua terbaring di sini,’’ jawab wanita itu dengan marah.
Bunga matahari adalah bunga kebangsaan negara Ukraine.
Klip wanita marah yang berhadapan dengan dua tentera Rusia itu dirakam di bandar pelabuhan Henichesk di laut Azov, kurang 28.97 kilometer dari wilayah yang dituntut Rusia, Crimea.
Protes terhadap perang antara Rusia dan Ukraine tercetus di seluruh dunia termasuk di Moscow di mana polis Rusia secara ganas menghalang demonstrasi dan menangkap ramai rakyat mereka sendiri.
Di dua bandar terbesar di negara itu iaitu Moscow dan Saint Petersburg, penunjuk perasaan menyuarakan sokongan mereka kepada Ukraine, melaungkan ‘tiada peperangan’ dalam penentangan yang sangat luar biasa.
Kira-kira 1,400 orang ditahan oleh polis Rusia dalam protes anti-perang termasuk 700 di Moscow dan lebih 340 di Saint Petersburg, demikian menurut kumpulan pembangkan negara itu. – Agensi