fbpx
Nur KHAIRUNNISA mengendalikan empat tong gas memasak seorang diri di Kampung Binjai, Chukai, Kemaman semalam.

[VIDEO] Ibu tunggal ‘angkat’ empat tong gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Status sebagai ibu tunggal selepas kematian suami tiga tahun lalu bukan penghalang bagi Nur Khairunnisa Abdullah untuk mencari rezeki biarpun terpaksa melakukan kerja-kerja berat dan lasak.

Nur Khairunnisa, 30, yang be­kerja sebagai penghantar tong gas cecair petroleum atau gas memasak dikagumi ramai kerana keupayaan dan kemahirannya mengendalikan barangan itu seorang diri dalam kuantiti banyak.

Dia yang bekerja di syarikat pembekalan tong gas memasak milik ibu angkatnya kebiasaannya akan memunggah timbunan tong gas itu dari lori yang dipan­dunya sendiri.

“Saya memiliki lesen mengendalikan jentera berat dan sepatutnya hanya bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ mengangkat tong gas dari treler.

“Namun, akibat kekurangan pekerja, saya mula menghantar sehingga 100 tong gas memasak ke rumah pelanggan di sekitar bandar Chukai dan Bukit Kuang di sini sejak tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Binjai di sini semalam.

Sebelum ini, video memaparkan rutin hariannya menghantar tong gas memasak ke rumah pelanggan yang dimuat naik menerusi akaun TikTok peribadi menjadi tular.

Rata-rata netizen mengagumi keupayaan Nur Khairunnisa mengendalikan empat tong gas memasak yang berisipadu 16 ki­logram setiap satu.

Nur Khairunnisa yang digelar Mek Gas oleh masyarakat setempat berkata, kadangkala dia perlu mengangkat tong gas memasak dalam kuantiti banyak sehingga ke tingkat empat pangsapuri bagi tujuan penghantaran.

Ujarnya, dia perlu kuat mencari rezeki untuk menunaikan amanah arwah suami, Muhd. Khairul Azizul Seong bagi membesarkan anak-anak sebaiknya.

“Lagipun, saya sudah biasa kerja lasak. Selain memandu lori, ‘forklift’ dan mengangkat tong gas, saya juga pernah bekerja sebagai tukang rumah dan tukang pasang jubin lantai,” ujarnya.

Nur Khairunnisa berkata, pekerjaan itu membuatkannya cekal untuk mengubah nasib diri dan tidak hanya mengharapkan sumbangan biarpun dia mene­rima bantuan Jabatan Kebaji­kan Masyarakat sebanyak RM200.

“Pekerjaan ini juga memboleh­kan saya luangkan lebih masa bersama anak-anak, Putri Farah Batrisya, 6, dan Putri Farah Qaliesya, 9, seperti mengajar mengaji dan ulang kaji pelajaran.

“Kami masih tinggal dengan ibu mentua, Liew Siah Hua, 74, yang masih kekal dengan agama asalnya biarpun suami saya sudah tiga tahun ‘pergi’ akibat kan­ser paru-paru,” ujarnya.

POPULAR