fbpx

Waktu solat salah sebab bumi putar perlahan belum disahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Dakwaan pihak tertentu konon waktu solat fardu adalah salah kerana bumi berputar perlahan belum lagi diperakui oleh mana-mana badan yang berautoriti di negara ini.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi kenyataan dalam laman sesawang rasmi melalui pautan slot Bayan Al-Falak, andaian tersebut juga adalah agak kabur.

“Dakwaan berhubung isu fenomena putaran bumi yang perlahan adalah masih samar dan belum pun disahkan oleh sebarang agensi berautoriti di Malaysia setakat ini,” jelas agensi itu.

Awal tahun ini, warganet tempatan digemparkan dengan pelbagai hantaran melalui media sosial yang mendakwa kononnya ada kesilapan waktu azan solat fardu untuk seluruh negara.

Ia ekoran tular perkongsian dari sumber luar negara yang memetik penemuan diterbitkan oleh Journal for the History of Astronomy dengan menyatakan bumi semakin perlahan berputar.

Dapatan itu hasil kajian dilaksanakan penyelidik Universiti Durham, England pada 2012 lalu yang mendakwa putaran planet ini sudah pun perlahan sejak lebih 700 tahun sebelum Masihi.

Mereka mendapati kira-kira 530 juta tahun dahulu, putaran sehari bumi ialah 21 jam atau 420 hari setahun sebelum mula bertambah lambat dan diramal akan menjadi 25 jam setiap hari.

Bumi ketika ini berputar dengan kelajuan purata 1,600 kilometer sejam dan apabila ia mula bergerak perlahan, situasi itu turut mempengaruhi ketepatan waktu solat dalam takwim harian.

Mengulas lanjut, PMWP menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan pelbagai agensi awam dan institusi pengajian tinggi dalam isu penetapan jitu lima waktu solat.

“Kami juga telah pun lama melakukan beberapa siri semakan waktu solat tertentu seperti kes azan zohor yang pernah tular suatu ketika dahulu apabila didakwa konon salah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI