PETALING JAYA – Segelintir golongan B40 yang berjaya memiliki rumah sendiri mengakui terpaksa mengikat perut pada setiap bulan bagi memastikan aliran tunai mereka mencukupi serta perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi bajet.
Tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan mereka terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang tinggi, sekali gus menyebabkan perbelanjaan lain perlu dihadkan.
Seorang pekerja swasta, Hermi Azmi, 33, berkata, tindakan menjimatkan perbelanjaan perlu dibuat setiap bulan memandangkan dia mempunyai banyak komitmen untuk dilunaskan setiap bulan.
Berita berkaitan: Keluarga B40 mungkin terpaksa menyewa sampai tua
“Walaupun saya membeli rumah di Melaka pada harga RM116,000 dengan bayaran bulanan RM600, namun saya masih perlu mengikat perut untuk membayarnya setiap bulan.
“Keadaan itu ekoran gaji saya sekadar cukup makan selain perlu membayar beberapa komitmen lain termasuk pinjaman kereta dan pendidikan selain perbelanjaan harian dan juga wang saku untuk ibu bapa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, dia sanggup untuk membeli rumah kerana mahu memiliki aset itu selain bimbang nilai pasaran akan terus meningkat jika lewat membelinya.
Berita berkaitan: Harga rumah naik melonjak berbanding gaji
“Saya terpaksa membeli rumah di Melaka kerana harganya lebih murah berbanding di Kuala Lumpur. Memandangkan saya masih bekerja di ibu negara, saya juga perlu membayar tambahan sewa rumah sebanyak RM600.
“Apabila dikira, komitmen bulanan memang tinggi dan terpaksa ikat perut bagi memastikan setiap ansuran bulanan dapat dibayar mengikut masa ditetapkan,” ujarnya.
Mohd. Arzim Ali, 29, juga berdepan situasi sama apabila perlu berjimat-cermat pada setiap bulan bagi memastikan bayaran rumah dapat dibayar setiap bulan.
“Memandangkan ansuran bulanan rumah kira-kira RM1,000 sebulan, saya perlu berdisiplin dalam perbelanjaan harian bagi mengelakkan tidak lebih belanja.
“Jika tiada keperluan, saya tidak akan membelinya kerana bimbang jika berbelanja lebih, ia akan menyebabkan saya gagal untuk membayar ansuran bulanan tersebut,” jelasnya.















