fbpx
BIARPUN berkisar tentang dunia guaman, namun drama Tetuan Ang & Rahimin bukanlah sebuah naskhah yang terlampau berat untuk tatapan penonton.

Cabaran dunia guaman Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REALITI industri sinema tanah air, agak jarang sebenarnya naskhah berkisar dunia guaman diketengahkan kepada penonton drama tempatan.

Menyedari kekosongan yang ada, rumah produksi KL Motion Pictures Company Sdn. Bhd. tampil membawakan sebuah drama rantaian baharu berjudul Tetuan Ang & Rahimin dibarisi pelakon popular seperti Daiyan Trisha, Ben Amir, Rashidi Ishak dan Anita Baharom.

Drama bersiaran 20 episod berkenaan mula menemui penonton sejak 14 Februari lalu menerusi saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis pukul 11 malam.

MEMEGANG watak sebagai Budi seorang peguam baharu, Daiyan mengakui seronok kerana pertama kali menjayakan sebuah karakter yang kelakar.

Cabaran besar

Drama berkenaan menjalani penggambaran ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga diwartakan tahun lalu.

Disebabkan situasi berkenaan, barisan pelakon mengakui mereka terpaksa berdepan banyak kekangan, termasuklah dari segi lokasi penggambaran selain jangkitan Covid-19 di set.

Menurut Daiyan, cabaran terbesar perlu dilalui mereka adalah ketika terpaksa penangguhan penggambaran selama 10 hari selepas ada kru dan barisan pelakon dijangkiti, termasuklah dirinya yang positif pada 4 Disember tahun lalu.

“Semasa kena hentikan seketika penggambaran selama 10 hari, memang agak mencabar. Sebab keadaan itu agak mengganggu perjalanan kerja terutamanya momentum penggambaran,” ujarnya.

Selain kes positif, pelakon yang juga penyanyi itu berkongsi kekangan lain dihadapinya, sementelah set lokasi seperti ruang dalam mahkamah merupakan studio yang dibina khas untuk penggambaran.

“Disebabkan PKP, banyak lokasi tak dapat dimasuki. Jadi produksi bina ‘mockup’ seperti di dalam mahkamah tetapi ruangnya tidaklah besar mana, kecil sahaja.

“Jadi cabaran yang kami hadapi pada waktu itu adalah terpaksa merakam banyak ‘shot’ untuk satu babak. Dari situ, guna masa yang panjang untuk menyelesaikan proses penggambaran,” kongsinya.

Sementara itu, seorang lagi pelakon Rashidi Ishak pula berkata, memandangkan mereka menterjemahkan naskhah dunia peguam ke dalam skrin televisyen, langkah berjaga-jaga perlu dititikberatkan demi menjaga integriti profesion peguam.

“Contohnya macam prosedur kerja dan ketika di mahkamah, termasuk pemakaian. Semuanya kena jaga dengan teliti. Paling utama kena jaga percakapan seperti frasa-frasa dunia guaman, tak boleh salah,” ujarnya.

Duit

Berkongsi serba sedikit tentang wataknya sebagai Rahimin, Ben Amir menjelaskan, dia perlu merealisasi watak seorang peguam yang terlalu memikirkan duit.

“Saya bekerja dengan Ang (Rashidi Ishak) di sebuah firma sama. Dia seorang yang nak kerjanya mudah dengan meminta klien mengaku salah, supaya tak pening kepala masuk mahkamah untuk perbicaraan.

“Konflik bermula apabila ditawarkan ganjaran wang daripada ketua gangster,” ceritanya.

Drama Tetuan Ang & Rahimin mengisahkan pergolakan dunia guaman melibatkan peguam-peguam muda yang tidak berpengalaman. Budi (Daiyan) sebagai seorang peguam juga cuba menyesuaikan diri, pada masa sama mahu menyatukan Rahimin dan Ang bagi menyelamatkan firma mereka daripada bekerjasama dengan ketua samseng.

POPULAR