fbpx

Tumor makin membesar, Aaron Aziz tangguh pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON AZIZ

PETALING JAYA – Pelakon Datuk Aaron Aziz mendedahkan kesakitan yang ditanggung selama ini berpunca daripada serangan tumor yang semakin membesar.

Katanya, dia sepatutnya menjalani pembedahan segera dan berehat selama dua bulan namun terpaksa menangguhkannya disebabkan sudah terikat dengan komitmen kerja.

“Selepas 90 minit berada dalam benda ini, MRI (pengimejan resonans magnet), doktor kata saya perlukan pembedahan dan cuti sakit selama dua bulan.

“Tapi tak boleh (bedah) sebab banyak projek yang sedang berjalan sekarang ini. Jadi buat masa ini saya hanya guna ubat untuk hilangkan sakit,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

AARON melakukan imbasan MRI baru-baru ini dan hasilnya, dia perlu melakukan pembedahan segera.

Aktor berusia 46 tahun itu berkongsi mengenai keadaan kesihatannya yang sebelum ini kerap keluar masuk hospital bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan.

Dia menyertakan tanda pagar #cervicalspondylosis iaitu penyakit pada bahagian tulang belakang di leher dan #schawannoma yang juga ketumbuhan yang terbentuk dalam sistem saraf.

Menerusi muat naik terbaharunya malam tadi, bintang KL Gangster itu turut berkongsi video keadaan dirinya dimasukkan ke dalam mesin MRI.

Menurut Aaron lagi, dia terpaksa bekerja dalam keadaan kesakitan yang sukar untuk diluahkan penderitaan yang ditanggung ketika ini.

“‘Working in pain, hanya Allah tahu apa yang saya rasa. Korang tengok abang senyum sana, ketawa sini tapi korang tak nampak bila hati abang menangis kesakitan.

“Tumor ini semakin besar kata doktor,” luah bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi mengenai situasi yang sedang dilalui.

Terdahulu, Aaron pernah membuat pendedahan mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian lehernya sejak hampir 10 tahun lalu.

Kali pertama dia berhadapan kesakitan tersebut pada 2012 iaitu sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.

Begitupun, sebelum ini anak seni asal Singapura itu tidak pernah memaklumkan keadaaan penyakitnya mempunyai kaitan dengan tumor atau ketumbuhan.

Malah dia juga seakan kental melawan kesakitan apabila tetap sedia melakukan aksi lasak dalam beberapa filem lakonannya.

Hingga kini Aaron bergantung dengan ubat-ubatan untuk menahan kesakitan bagi membolehkannya ‘turun’ ke set penggambaran seperti biasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI