fbpx

Kisah Rayan, Ryan dan Ar-Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ryan dan Rayan Oram

Minggu lalu, dunia menangis hiba pemergian seorang kanak-kanak comel berumur lima tahun, Rayan Oram yang dijemput ajal selepas lima hari terperosok di dalam perigi buta sedalam 32 meter di Maghribi.

Kanak-kanak itu juga seperti anak-anak lain di dunia yang gemar bermain, namun takdir malang buat Rayan apabila dikatakan jatuh ke dalam sebuah perigi kering kala bermain-main di sekitarnya.

Tragedi itu pantas membungkam empati di dada masyarakat dunia. Entah bagaimanalah si kecil itu menanggung ketakutan dan kesengsaraan di ruang yang begitu sempit dan gelap zulmat itu.

Setelah berhari-hari menanti penuh debar kerja-kerja menggali tanah untuk menyelamatkannya, luluh hati ramai apabila yang diusung keluar pihak penyelamat cumalah sekujur jasad kecil sudah tidak bernyawa.

Dianggarkan 1.7 bilion masyarakat dunia yang setia mengikuti secara online usaha menyelamatkan Rayan berasa sulit untuk melupakan visual dari dalam tanah seorang anak kecil tertutup mata dengan tubuh berdebu tetapi masih bergerak lemah pada hari-hari sebelum itu.

Tidak kira di negara Timur atau Barat, berita kanak-kanak ini dilaporkan dengan pelbagai sudut memilukan. Bahkan tidak kurang artikel yang menyimpulkan solidariti itu bukti dunia ini masih punyai jiwa perikemanusiaan.

Rentetan kejadian itu, Maghribi dan Arab Saudi mula mengesan perigi-perigi buta terbiar di negara-negara itu dan menimbusnya agar insiden tersebut tidak berulang.

Apabila tragedi ini berlaku, ia turut mengingatkan penulis tentang sebuah kisah yang berlaku beribu-ribu tahun lampau di negara berhampiran Maghribi apabila seorang kanak-kanak juga ‘jatuh’ ke dalam perigi buta.

Kanak-kanak itu ialah Nabi Yusuf a.s. Jika Rayan dikatakan terjatuh, kanak-kanak bernama Yusuf itu ditolak oleh abang-abangnya angkara dengki.

Mujurlah ada sekumpulan musafir yang menemukannya sebelum membawanya ke Mesir lalu dibeli seorang pembesar di Mesir kemudian dimukjizatkan dengan ketampanan ketika dewasa dan dipenjarakan kerana bukan kesalahannya.

Kisah Nabi Yusuf memang panjang hinggalah seorang raja melantiknya menjadi ketua perbendaharaan atau menteri kewangan setelah Nabi Yusuf berjaya mentafsirkan mimpi raja.

Raja Mesir itulah yang telah menyelamatkan Nabi Yusuf dari penjara dan raja tersebut bernama Ar-Rayyan bin Al-Walid mengikut pandangan tokoh sejarah, Al-Tabari dan Ibnu Ishaq. Kebetulan namanya hampir sama dengan Rayan.

Menurut Ibnu Ishaq, Raja Mesir bernama Ar-Rayyan ini turut beriman dengan ajaran Nabi Yusuf sebelum Mesir diperintah dinasti raja-raja bergelar Firaun.

Nama Rayan juga membuat penulis teringat seorang lagi kanak-kanak. Dia ialah Ryan Kaji berumur 10 tahun yang menjadi Youtuber berpendapatan paling tinggi di dunia pada tahun 2019 dan 2020 mengatasi Youtuber-Youtuber dewasa.

Terbaharu, Ryan yang berdarah campuran Jepun dan Vietnam turut dilaporkan masih berada dalam kelompok 10 Youtuber berpendapatan tertinggi pada tahun 2021, namun sesetengah portal tetap meletakkan dirinya di kedudukan pertama, misalnya portal Scoopwhoop bulan lalu yang menyifatkan dirinya Youtuber paling kaya dengan pendapatan AS$80 juta (RM334 juta). Bahkan terdapat portal antarabangsa yang menyifatkan Ryan ialah Youtuber paling berjaya dalam tempoh empat tahun kebelakangan.

Begitulah impak besar yang boleh dibawa oleh kanak-kanak kepada dunia.

Harapan penulis, jika seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama begitu menghargai nyawa seorang Rayan, penulis pinta dunia juga boleh meletakkan nilai yang sama pada nyawa puluhan ribu kanak-kanak di Palestin dan Syria dengan tidak sewenang-wenangnya dihalalkan darah mereka atas nama peperangan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI