KETIKA kecil, menjadi satu kelaziman buat Dr. Nuradilla Mohamad Fauzi untuk mengikuti bapanya ke pulau bagi melakukan aktiviti snorkeling.
“Ayah saya merupakan salah seorang penyelam skuba menyebabkan saya serta adik- beradik lain sering mengikutinya ke laut.
“Kerana terlalu biasa dengan pulau, ia telah membuatkan saya meminati terumbu karang,” kata saintis wanita itu.
Nuradilla merupakan pensyarah kanan di Institut Sains Biologi di Universiti Malaya yang telah terlibat sebagai salah seorang penyelidik bagi Project PULIH iaitu satu projek pemuliharaan batu karang yang melibatkan gabungan sekumpulan penyelidik daripada UM yang memiliki bidang kepakaran berbeza.
Baca artikel penuh di www. kosmo.com.my
KETIKA kecil, menjadi satu kelaziman buat Dr. Nuradilla Mohamad Fauzi untuk mengikuti bapanya ke pulau bagi melakukan aktiviti snorkeling.
“Ayah saya merupakan salah seorang penyelam skuba menyebabkan saya serta adik- beradik lain sering mengikutinya ke laut.
“Kerana terlalu biasa dengan pulau, ia telah membuatkan saya meminati terumbu karang,” kata saintis wanita itu kepada K2 sekali gus menjelaskan bagaimana tercetus minatnya terhadap hidupan laut itu.
Bagi Nuradilla, terumbu atau batu karang memiliki keindahan tersendiri dan mampu memukau mata yang memandang.
“Ramai anggap batu karang itu batu. Sebenarnya batu karang ini adalah sejenis haiwan. Jika kita lihat batu karang ini lebih dekat ia mempunyai tentakel untuk menangkap makanan iaitu satu ciri haiwan,” jelasnya.
Kini setelah meningkat dewasa dan menyedari banyak terumbu karang musnah akibat aktiviti tertentu, telah mendorong wanita berusia 30-an itu untuk terlibat sama dalam pemuliharaan terumbu karang.
Nuradilla merupakan pensyarah kanan di Institut Sains Biologi di Universiti Malaya yang telah terlibat sebagai salah seorang penyelidik bagi Project PULIH.

Project PULIH merupakan satu projek pemuliharaan batu karang yang melibatkan gabungan sekumpulan penyelidik daripada UM yang memiliki bidang kepakaran berbeza.
“Projek ini telah dimulakan pada tahun 2019 dan kami menjalankan pemuliharaan terumbu karang di Pulau Rawa yang terletak di Johor.
“Penyelidik-penyelidik bagi projek ini memiliki kepakaran berbeza dan tujuan kami adalah untuk pemulihan, penjanaan semula dan meningkatkan daya tahan terumbu karang,” terangnya.
Sesuai dengan bidang kepakarannya iaitu kajian genetik, wanita pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang genetik dari Universiti California, Amerika Syarikat itu lebih menumpukan kajian genetik terumbu karang dalam projek tersebut. Ia boleh dianggap suatu bidang kajian atau kepakaran yang kurang dilakukan orang.
“Kajian genetik tersebut membolehkan kita memahami aspek yang kita tidak boleh nampak dengan mata kasar pada terumbu karang.
“Melalui aspek genetik ini saya mengkaji adakah berlaku penuaan pada terumbu karang atau tidak,” katanya.
Nuradilla menjelaskan, ramai yang beranggapan bahawa batu karang yang patah atau rosak boleh tumbuh semula lalu menjadi seperti keadaan asal dan hal itu sememangnya benar bahawa terumbu karang boleh tumbuh semula.
Namun, kajian yang dilakukan Nuradilla adalah untuk melihat tempoh masa yang diambil oleh terumbu karang untuk pulih semula daripada penuaan.

Seperti juga manusia, batu karang yang lebih berusia juga dianggap berdepan dengan situasi yang memerlukan lebih masa untuk sembuh jika mengalami kecederaan berbanding yang lebih muda.
Konsep sebegitulah antara yang sedang dikajinya berhubung terumbu karang bagi membolehkan ekosistem hidupan marin itu sentiasa terpelihara.
Tambah Nuradilla, melalui kajian genetik yang dilakukannya juga akan membolehkan pemilihan terumbu karang yang tepat diambil bagi tujuan penanaman semula di sesuatu kawasan.
Jelas Nuradilla, kini banyak pihak telah melakukan pemuliharaan terumbu karang secara aktif melalui penanaman semula, tetapi perlulah dilakukan dengan betul.
“Kebiasaannya untuk penanaman semula orang akan main pilih sahaja satu jenis terumbu karang, misalnya jenis bercabang kerana tumbuh cepat dan cantik.
“Tetapi untuk jangka masa panjang, jika kita hanya fokus kepada satu spesies terumbu karang bagi penanaman semula, ia sebenarnya tidak mampan untuk memulihara satu ekosistem. Sebaliknya, ia perlu disertakan dengan penanaman banyak spesies terumbu karang,” katanya.
Berhubung hal itu, Nuradilla menjelaskan, terdapat lebih 700 spesies terumbu karang di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, hampir 500 spesies boleh ditemui di kawasan Segi Tiga Terumbu Karang (Coral Triangle) meliputi antaranya perairan Indonesia, Kepuluan Solomon dan Filipina.
“Malaysia turut menerima tempias kawasan segi tiga itu di mana kawasan timur Sabah turut berada di kawasan itu. Oleh itu, jika kita hanya fokus kepada satu spesies terumbu karang, ekosistemnya tidak akan pulih seperti sediakala,” jelasnya.

Oleh itu, salah satu usaha yang dilaksanakan di bawah Project PULIH adalah untuk melihat perbezaan proses pembesaran terumbu karang yang berlainan spesies.
Sementara itu, Nuradilla mendedahkan, berdasarkan pemerhatiannya, terumbu karang di Malaysia kini berada dalam keadaan yang tidak baik berbanding 20 tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, masalah itu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia dan sebab utamanya adalah perubahan iklim.
“Disebabkan perubahan iklim suhu dunia meningkat, ia memberi kesan kepada terumbu karang,” katanya yang menjelaskan terumbu karang juga penting kepada organisma laut yang lain kerana menjadi tempat spesies lain seperti ikan, ketam dan lain-lain untuk berlindung dan mencari makanan.
Nuradilla menjelaskan, risiko lain yang menyebabkan terumbu karang berada dalam keadaan tidak baik adalah kerana aktiviti manusia.
Terumbu karang akan menerima kesan sekiranya terdapat banyak aktiviti manusia yang tidak terkawal di sesuatu kawasan itu.
Sebagai contoh, terumbu karang di kawasan yang menjadi tumpuan ramai melakukan aktiviti bersnorkel berisiko untuk pecah jika dipijak.
“Selain itu, aktiviti menangkap ikan menggunakan jaring juga memberi risiko kepada terumbu karang. Memang benar terumbu karang boleh tumbuh semula. Tetapi kita harus ingat tumbesarannya sangat perlahan,” jelasnya.
Nuradilla menitipkan harapan supaya kesedaran orang ramai untuk bersama menjaga ekosistem terumbu karang ini dapat ditingkatkan.
















