fbpx

Program UMK Putrajaya perkasakan usahawan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Danial Aiman bersama kios yang diserahkan kepadanya oleh pihak Perbadanan Putrajaya di Medan Selera Presint 9 di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperkasakan usahawan muda dipertingkatkan lagi dengan penyerahan sebanyak enam buah kiosk perniagaan kepada mereka yang layak menerusi program Usahawan Muda Kota (UMK) Putrajaya di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Perlesenan Perbadanan Putrajaya (PPj), Jeffri Mustapa berkata, usaha berkenaan selaras dengan hala tuju disuarakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yang meminta agar PPj mempergiatkan usaha menyokong usahawan kecil.

“Pada hari ini, kita telah menyerahkan kios-kios perniagaan kepada enam orang usahawan muda terpilih yang telah dikenal pasti layak agar mereka dapat berniaga dengan lebih selesa dan selamat.

“Sebelum ini mereka menjalankan perniagaan di kaki lima, tepi jalan dan sebagainya jadi kita sediakan kios di lokasi yang menjadi tumpuan penduduk Putrajaya untuk mereka selain bantuan logistik lain serta ilmu untuk memajukan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan kios kepada enam penerima di Karnival Mini Usahawan Muda yang bertempat di Pekarangan Medan Selera Presint 9 di sini, hari ini.

Menurut Jeffri, program UMK Putrajaya telah menerima sambutan menggalakkan daripada para usahawan yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk Putrajaya malah mereka yang menetap di kawasan berhampiran sejak pengumumannya pada Julai 2020 lalu.

“PPj komited untuk menyediakan sebanyak 161 lot perniagaan menerusi UMK yang telah dirancang di sekitar Putrajaya sehingga 2023 dan setakat ini sebanyak 105 lot perniagaan telah ditawarkan kepada usahawan di sini.

“Sasaran UMK Putrajaya adalah usahawan yang boleh dibimbing oleh usahawan produk francais atau ikonik dan mudah memulakan perniagaan tanpa memerlukan modal yang besar,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima kios, Muhammad Danial Aiman Zainuddin, 28, menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak PPj di atas penyerahan kios berkenaan yang diharapkan dapat membantu mengembangkan lagi perniagaannya.

Muhammad Danial yang juga pengasas Takoyaki Bro memaklumkan sebelum ini dia menjalankan perniagaan di medan selera berkenaan tanpa unit kedai dan pernah mengalami kerugian yang besar selepas gerainya dibadai ribut dan hujan lebat.

“Sebelum ini gerai saya pernah dilanda angin kuat sehingga barang perniagaan bertaburan di atas lantai jadi selepas adanya kios ini saya rasa lebih selamat apabila terlindung daripada hujan lebat dan angin kuat,” ujar beliau.

Difahamkan, bagi merancakkan lagi program UMK Putrajaya pada tahun ini, PPj akan menyediakan lagi tambahan 10 kios baharu yang bakal disiapkan pada akhir tahun ini dan 16 lagi kios pada tahun 2023. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI