PETALING JAYA – Syarikat penghantar e-hailing digesa agar tidak menekan penghantar perkhidmatan itu dengan isu rating sehingga mendorong kumpulan tersebut sanggup melanggar undang-undang jalan raya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penghantar e-hailing Malaysia, Mohd. Hedrhin Ramli berkata, pihaknya melihat isu rating telah menyebabkan sebahagian penghantar e-hailing sanggup menggadaikan nyawa dengan menunggang motosikal secara laju dan berbahaya termasuk melanggar lampu isyarat.
“Syarikat e-hailing tidak boleh sesuka hati terus menghukum penghantar apabila pelanggan membuat aduan kepada syarikat dengan menjatuhkan kedudukan rating penghantar.
“Apa yang saya nampak sekarang, ada syarikat yang lepas tangan 100 peratus dengan tidak bertanggungjawab sepanjang proses mengambil dan menghantar makanan. Maksudnya, apa-apa berlaku adalah tanggungjawab mereka sendiri.
“Selain itu, syarikat juga dilihat kurang bekerjasama dengan persatuan, walhal persatuan bersedia untuk bekerjasama pada bila-bila masa dalam mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya kepada Kosmo!.
Menurut beliau, dalam isu ini, syarikat perlu ada prosedur operasi standard (SOP) atau cara pemantauan yang seimbang agar ia menguntungkan kedua-dua pihak.
“Sikap tolak ansur oleh pihak syarikat perlu ada kerana ia melibatkan undang-undang apabila penghantar melanggar lampu isyarat. Tambahan lagi ramai penghantar yang belum berdaftar dengan pihak Perkeso dan tidak mempunyai insurans pelindung nyawa.
“Justeru itu, saya sarankan agar pihak syarikat duduk bersama dengan satu badan yang mewakili penghantar contohnya bersama agensi-agensi termasuk persatuan supaya kita boleh cari jalan penyelesaian yang terbaik,” ujarnya yang mempunyai kira-kira 5,000 penghantar e-hailing yang berdaftar dengan persatuan. -K! ONLINE
















