KAKITANGAN perubatan membawa pesakit Covid-19 turun dari ambulans di Hospital Pokrovskaya, Saint Petersburg, Rusia pada 24 Januari lalu. - AFP

Omicron sudah ragut setengah juta nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa sudah 500,000 kematian dicatatkan seluruh dunia akibat varian Omicron.

WHO menyifatkan jumlah kematian tersebut sebagai tragis dan sangat membimbangkan sejak Omicron dikesan di Afrika pada hujung tahun lalu.

Pengurus Insiden WHO, Abdi Mahamud turut memberitahu terdapat 130 juta kes direkod berkaitan Omicron sejak varian itu diisytiharkan sebagai membimbangkan pada akhir November 2021.

Sejak itu, ia telah mengatasi Delta dengan pantas sebagai varian Covid-19 yang dominan di dunia kerana lebih mudah berjangkit meskipun menyebabkan gejala yang kurang teruk.

“Pada zaman di mana vaksin berkesan, kita masih mencatat kematian seramai setengah juta orang, ini bermaksud situasi sekarang benar-benar serius.

“Meskipun semua orang mengatakan gejala Omicron lebih ringan namun ramai terlupa ia masih membawa maut sehingga meragut begitu banyak nyawa dalam tempoh beberapa bulan sahaja,” kata Abdi.

Ketua Teknikal WHO Covid-19, Maria Van Kerkhove, berkata jumlah kes Omicron sebenarnya adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

“Kita masih berada di tengah-tengah wabak dan ia belum reda kerana banyak negara belum melepasi puncak Omicron mereka,” ujar Van Kerkhove.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan kemungkinan besar jumlah kematian akan terus meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Dalam kemas kini laporan epidemiologi Covid-19 mingguan, WHO berkata hampir 68,000 kematian baharu dilaporkan minggu lalu, naik tujuh peratus berbanding minggu sebelumnya.

Sementara itu, jumlah kes Covid mingguan baharu menurun sebanyak 17 peratus kepada hampir 19.3 juta.

WHO berkata Omicron menyumbang 96.7 peratus sampel yang dikumpul dalam 30 hari terakhir. Delta kini hanya membentuk 3.3 peratus kes.

Covid-19 telah membunuh lebih 5.7 juta orang sejak ia muncul di China pada Disember 2019, manakala lebih 392 juta kes telah direkodkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN