YAN – Lebih 500 penduduk di Ruat di sini berharap pembinaan sebuah masjid terapung yang didakwa terbengkalai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu disambung semula.
Masjid terapung bernilai RM15 juta yang bakal menjadi bangunan ikonik terbaharu di daerah itu dikatakan mula dibina pada 2017 dan dijadualkan siap pada 2019.
Walau bagaimanapun kalangan penduduk terutama di Kampung Kuala Raga, Kampung Ruat, Kampung Pantai Murni, Taman Samudera, Taman Selat serta Taman Permatang Chengai masih tertanya-tanya bila masjid berkenaan akan siap.
Penduduk Kampung Kuala Raga, Mohd. Fauzi Abu Yazid 56, berkata, selama ini mereka menggunakan masjid di Kampung Ruat yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) untuk solat Jumaat atau solat berjemaah lima waktu.
“Pembukaan tiga perumahan baharu seperti Taman Samudera, Taman Selat serta Taman Permatang Chengai menyebabkan masjid sedia ada tidak lagi dapat menampung kapasiti jemaah seperti dahulu.
“Selain itu pertambahan jumlah penduduk di tiga kampung menyebabkan keperluan masjid baharu agak mendesak yang mana lokasinya lebih dekat iaitu sejauh 0.5km dari kampung kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Penduduk Kampung Pantai Murni, Sobri Ahmad, 61, berharap pembinaan masjid terapung tersebut diteruskan.
“Rumah saya bersempadan dengan Kampung Kuala Raga yang mana masjid terbengkalai ini sememangnya lebih dekat jaraknya berbanding Masjid Jamek Badlishah di Pekan Yan untuk solat Jumaat.
“Sudah tentu kami berharap dapat menggunakan masjid baharu ini secepat mungkin untuk diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan lain pada sepanjang masa,” ujarnya.