fbpx

SPRM serbu tiga pejabat milik Mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan serbuan serentak di pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation dan pejabat Setiausaha Syarikat kepada Mara Corporation, hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi oleh 11 pegawai yang dilihat memasuki ketiga-tiga bangunan berkenaan.

Serbuan pertama dilakukan di pejabat Mara di Jalan Mara, manakala serbuan kedua pula di Mara Corporation di tingkat 20, Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan ketiga pula membabitkan pejabat Setiausaha Syarikat kepada Mara Corporation di Menara Keck Seng, Jalan Bukit Bintang, dekat sini.

Media difahamkan, serbuan dilakukan dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan isu integriti melibatkan pegawai kanan di agensi terbabit termasuk mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bahawa satu siasatan akan dijalankan oleh MARA berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai di agensi tersebut.

SPRM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan isu tersebut dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari (hari ini) dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI