fbpx

Pembantu kedai dobi didakwa lagi tipu RM100,000 projek Petronas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Herisyam (tengah topi merah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang pembantu kedai dobi didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan penipuan bernilai RM100,000 bagi membantu mendapatkan projek-projek penggantian saluran paip gas Petronas di Terengganu, empat tahun lalu.

Tertuduh, Herisyam Abdul Wahid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Herisyam sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu atas empat pertuduhan menipu berjumlah RM163,000 bagi urusan projek sama.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam orang anak itu didakwa telah memperdayakan seorang lelaki berusia 41 tahun berjumlah RM100,000 bagi projek ‘Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite)’ dari Petronas Gas Berhad.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini pada April 2018.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat SPRM.

Fadhli turut memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang telah didakwa awal sebelum ini.

Bagaimanapun, Peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim mewakili tertuduh memohon ihsan dan simpati mahkamah mengurangkan jaminan kerana anak guamnya hanya mampu mengumpulkan RM6,000 sahaja.

“Anak guam saya mempunyai enam orang anak dengan seorang daripadanya orang kelainan upaya selain pendapatan RM30 sehari sebagai pembantu kedai dobi.

“Selain itu, juga perlu membayar sewa rumah RM500 sebulan dengan kelangsungan hidupnya atas ihsan adik-beradik tertuduh,” jelasnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwan serta permohonan memindahkan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes pada 21 Februari depan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI